X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Malaysia catat kematian tertinggi 138 kes hari ini

Dr Noor Hisham
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Malaysia merekodkan jumlah kematian tertinggi pada Sabtu sejak penularan Covid-19 di negara ini dengan 138 kes dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 138 kes kematian itu melibatkan 46 kes di Selangor, Negeri Sembilan (20), masing-masing 16 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor, Pahang (12), Melaka (11), Kedah (7), Perak (4), Pulau Pinang (3), Terengganu (dua), dan satu kes di Sabah.

Menurutnya, sebanyak 12,528 kes harian positif Covid-19 direkodkan pada Sabtu menjadikan jumlah keseluruhannya 905,851 kes.

"Selangor kekal negeri tertinggi melaporkan kes harian baharu dengan 4,985 jangkitan manakala Negeri Sembilan 1,280 kes, Kuala Lumpur (1,740), Melaka (569), Kedah (701), Sarawak (388), Pahang (317), Pulau Pinang (396), Sabah (647), Perak (428), Kelantan (211), Terengganu (177), Putrajaya (62), Labuan (22) dan Perlis (satu)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, daripada 12,528 kes baharu direkodkan hanya 64 kes atau 0.5 peratus berada dalam kategori lima (kritikal dan perlukan ventilator).

"Majoriti kes berada pada kategori satu (tiada gejala) dengan 6,840 kes (54.6 peratus) manakala 5,468 kes (43.6 peratus) lagi pada kategori dua (gejala ringan).

"Bagi kategori tiga (radang paru-paru) pula, sebanyak 112 kes dilaporkan pada Sabtu bersamaan 0.9 peratus manakala Kktegori empat (perlu oksigen) sebanyak 44 kes (0.4 peratus)," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 908 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 425 kes lagi memerlukan bantuan pernafasan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan sebanyak 19 kes import melibatkan 13 warganegara dan enam bukan warganegara.

"Sementara itu, sebanyak 6,629 kes telah sembuh sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 779,171 kes," katanya.

Pada perkembangan sama, beliau berkata, KKM turut merekodkan 28 kluster baharu manakala 2,327 kluster tamat dan 906 kluster lagi masih aktif.

"Justeru orang ramai termasuk individu yang telah menerima vaksin Covid-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan.

"Elakkan kawasan sesak, sempit dan sembang dengan jarak dekat dan amalkan cuci tangan, pakai pelitup muka dan patuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!