Kerajaan tambah asid folik, zat besi dalam tepung gandum subsidi

Rosol (kanan) meninjau tepung gandum yang dijual di sebuah kedai runcit di Hulu Terengganu pada Sabtu.
Rosol (kanan) meninjau tepung gandum yang dijual di sebuah kedai runcit di Hulu Terengganu pada Sabtu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menyediakan peruntukan tambahan RM5 juta bagi proses fortifikasi melibatkan tambahan asid folik dan zat besi bagi semua jenama tepung gandum bersubsidi (kegunaan am) bermula Julai.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, usaha bagi meningkatkan kualiti sumber makanan itu dilakukan di bawah Program Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am (PSTG) yang melibatkan peruntukan RM40 juta setahun.

"Tepung gandum kegunaan am yang telah difortifikasi dengan zat besi dan asid folik perlu menjalani ujian makmal yang diiktiraf.

"Pelaksanaan fortifikasi tepung gandum kegunaan am ini sejajar dengan hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani masalah kekurangan asid folik dan zat besi dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan Program Outreach Vaksinasi di sini pada Sabtu.

Menurut Rosol, walaupun khasiat sumber makanan itu ditingkatkan, harga jualan runcit tepung gandum bersubsidi di pasaran tidak berubah dan kekal pada harga kawalan RM1.35 sen sekilogram (kg).

Selain itu, katanya, kuota tepung gandum bersubsidi yang mula diperkenalkan sejak 2007 itu juga akan dikekalkan sebanyak 100,000 tan metrik setahun.

"Dengan adanya fortifikasi bagi gandum subsidi ini, ia menunjukkan bahawa tiada lagi jurang antara barangan yang dibekalkan kepada golongan kurang berkemampuan.

"Golongan kurang berkemampuan juga akan menikmati sumber makanan yang kualitinya sama dengan harga biasa yang dijual di pasaran," katanya.

Artikel Berkaitan: