Dana RM90 juta: Jangan semberono keluar kenyataan

Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pas meminta pihak tidak berkenaan jangan campur tangan dengan mengeluarkan kenyataan semberono dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu dana RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun bank rasmi Pas.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, tindakan seumpama itu tidak wajar kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull merupakan pegawai yang dilantik oleh kerajaan PH, bukan lantikan kerajaan Pas.

“Siasatan kes rasuah, sogokan, duit kopi, minyak pelincir, pecah amanah, salah guna kuasa dan yang sewaktu dengannya ialah tugas SPRM.

“Kita beri mandat dan sepenuh kepercayaan untuk SPRM melaksanakan tugas mereka secara profesional dengan buka pintu pejabat agung Pas untuk SPRM dan penyiasat dah datang periksa, pegawai penyiasat ada SOP (Prosedur Operasi Standart) dalam buat kerja.

“Saya yakin Ketua Pesuruhjaya SPRM tak akan keluarkan kenyataan kalau maklumat belum lengkap. Yang gemar keluarkan kenyataan dulu lepas tu baru bincang ialah pihak lain dan bukannya SPRM.

“Oleh itu, kita minta yang tak berkenaan jangan campur tangan mengeluarkan kenyataan yang tak perlu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, SPRM mengesahkan tiada kemasukan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM90 juta ke dalam akaun Pas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, hasil siasatan yang dijalankan agensi itu tidak menjumpai apa-apa transaksi yang membuktikan dakwaan tersebut, setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, SPRM mengesahkan telah menerima laporan tentang dakwaan wang sebanyak RM90 juta yang disyaki daripada 1MDB, dikatakan dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin Pas.

Susulan itu, agensi berkenaan memulakan siasatan dan telah memanggil beberapa pemimpin, antaranya Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa bagi membantu siasatan.