'Bendera Putih lirik lagu pertama saya'

Lee Shen (kiri) bersama komposer lagu Bendera Putih, Eddie Hamid.
Lee Shen (kiri) bersama komposer lagu Bendera Putih, Eddie Hamid.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pegawai polis, Goh Lee Shen tidak menyangka lirik lagu 'Bendera Putih' yang dihasilkan secara santai bersama komposer Eddie Hamid beberapa hari lalu, mendapat sambutan ramai di media sosial.

Lee Shen, 61, berkata, lirik lagu tersebut dihasilkan bagi menzahirkan luahan isi hati rakyat Malaysia yang teruk terjejas akibat Covid-19.

Menurutnya, lirik lagu berkenaan mengambil masa sehari sahaja untuk dihasilkan selepas kira-kira seminggu mengumpul bahan.

Malah, katanya, lirik berkenaan mudah dihasilkan kerana menceritakan situasi masyarakat ketika ini.

"Saya berjiran dengan Eddie dan idea menghasilkan lirik lagu Bendera Putih itu lahir ketika kami membuat kajian berdasarkan laporan media terhadap peningkatan mental stres dan kesengsaraan rakyat akibat Covid-19.

"Cerita itu cerita masyarakat. Kami tidak perlu fikir jauh kerana ia perkara biasa berlaku ketika ini. Eddie buat muziknya dan lirik itu dihasilkan dalam tempoh sehari selepas seminggu mengumpul bahan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Lee Shen yang menetap di Setapak di sini berkata, lirik berkenaan merupakan cubaan pertama beliau.

Katanya, sepanjang tempoh menghasilkan lirik lagu tersebut, beliau mendapat sokongan isterinya, Lee Foong Lan, 58, dan anak bongsunya, Gior Goh, 24.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Lee Shen berkata, lagu itu turut menyentuh insiden cemuhan personaliti tertentu terhadap kempen kibaran bendera putih serta kerenah ditunjukkan golongan tertentu tidak mengira masa susah atau senang rakyat.

“Menerusi lirik lagu ini, kita minta supaya jangan dicemuh rakyat yang mengibarkan bendera putih, sebaliknya bantulah mereka seadanya. Diharap mesej yang disampaikan ini dapat difahami semua pihak,” ujarnya.

Tambah Lee Shen, beliau menaruh harapan tinggi agar semua pihak dapat bersatu dan bukannya berseteru termasuk dalam kalangan pemimpin agar tumpuan kepada kesempitan rakyat dapat diberikan.

Lagu Bendera Putih dinyanyikan oleh Roy Kapilla atau nama sebenarnya, Saufi Abdullah.

Sebelum ini, Roy memaklumkan bahawa rakaman lagu dan pembikinan klip video lagu Bendera Putih dibuat secara dalam talian bersama Eddie.

Sejak ia dimuat naik menerusi saluran YouTube Eddie Hamid Channel pada 10 Julai lalu, rata-rata netizen mengakui bait-bait lirik lagu itu ibarat suara hati mereka yang ketika ini semakin tertekan dengan pandemik Covid-19.

Pada Isnin, Eddie dilaporkan berkata, selepas lirik lagu tersebut siap dan rakaman telah dibuat, demo lagu itu turut diperdengarkan kepada beberapa pegawai atasan pihak berkuasa.

Menurutnya, ia bagi mendapat pandangan pihak berkuasa kerana dalam lirik Bendera Putih itu terdapat beberapa bait yang pada fikirannya adalah sensitif.

Bagaimanapun, beliau mendapat maklum balas bahawa lirik lagu berkenaan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak, sebaliknya bercerita mengenai situasi semasa.

Sehingga Jumaat, klip video Bendera Putih sudah mencecah lebih 27,000 kali tontonan.