Kes CEO Cradle Fund: Polis terima laporan bedah siasat kedua

Mohamad Fuzi (tengah) dalam sidang media di Markas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Cheras, hari ini. Gambar kecil: Allahyarham Nazrin Hassan.
Mohamad Fuzi (tengah) dalam sidang media di Markas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Cheras, hari ini. Gambar kecil: Allahyarham Nazrin Hassan.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Polis sudah menerima laporan bedah siasat kali kedua ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

"Susulan itu, pada 22 Februari lalu, kertas siasatan telah dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara untuk keputusan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Peringatan Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan Ke-63 dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di di Markas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), di sini, hari ini.

Mengulas sama ada terdapat tangkapan baharu selepas menerima laporan itu, Mohamad Fuzi berkata, buat masa tiada keperluan lagi kecuali terdapat arahan baharu daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, laporan bedah siasat kedua itu telah diperoleh pihaknya pada minggu lepas.

Pada 8 Oktober tahun lalu, jenazah Allahyarham Nazrin digali semula untuk proses bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Jenazah kemudiannya dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Seksyen 6 Kota Damansara pada 15 Oktober.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kes bunuh mangsa.

Pada 3 Ogos, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Artikel Berkaitan:

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lalu yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca akibat letupan telefon bimbit.