Penubuhan MPN akan tumpu kepada usaha kawal Covid-19

Tangkap layar sidang media Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Khamis
Tangkap layar sidang media Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Khamis
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menegaskan bahawa cadangan menubuhkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) adalah untuk mengawal wabak Covid-19 di negara ini yang semakin meningkat.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, badan tersebut perlu diberi kuasa untuk mengambil tindakan khusus dan tidak dipengaruhi dengan mana-mana parti politik.

Menurut beliau, MPN juga akan terdiri dengan pakar-pakar yang dipilih untuk mengurangkan bilangan kes di dalam negara ketika ini.

“Kerajaan juga telah menubuhkan satu badan yang sama dengan yang dicadangkan ini. Tetapi ia diletakkan di bawah kerajaan menyebabkan unsur politik mempengaruhi badan tersebut.

“Saya cuma mahu melihat badan yang kami mahu tubuhkan ini semata-mata menumpukan kepada masalah wabak Covid-19 dan penderitaan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu sidang akhbar secara maya pada Khamis.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ketua Pejuanita, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau bersedia untuk meninggalkan Pejuang untuk memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah berkaitan Covid-19.

“Saya tidak mahu mereka menjadi konflik kepentingan sebagai pegangan politik dan pekerjaan saya jika diminta untuk memimpin majlis ini.

Artikel Berkaitan:

“Anggota majlis juga kita mahu yang tidak bermotivasikan politik atau berkait dengan mana-mana parti, sebab keputusan berdasarkan politik itu tidak akan menumpukan kepada masalah pandemik itu sendiri,” ujarnya.