'Duit bantuan cukup, saya berniaga untuk hilangkan bosan'

Video Tiktok berdurasi satu minit memaparkan kegigihan Che Munah yang menjual asam keping di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu sehingga tular di media sosial.
Video Tiktok berdurasi satu minit memaparkan kegigihan Che Munah yang menjual asam keping di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu sehingga tular di media sosial.
A
A
A

PASIR PUTEH - "Duit bantuan bulanan cukup. Saya berniaga untuk hilangkan rasa bosan duduk di rumah," kata Che Munah Che Man, 82, warga emas yang menjual asam keping di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu yang tular di media sosial.

Che Munah berkata, walaupun kudratnya sudah tidak sekuat dahulu, namun dia tetap mahu berniaga kerana pekerjaan itu sudah menjadi sebahagian darah dagingnya.

Menurutnya, perasaan takut terhadap risiko jangkitan Covid-19 tetap ada, bagaimanapun dia akur sekiranya tidak dibenarkan untuk berniaga selepas ini.

"Saya boleh tidak keluar berniaga, tetapi kalau duduk di rumah, bosanlah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Banggol Pak Esah, Selising di sini pada Khamis.

Che Munah sebelum itu menerima kunjungan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Pasir Puteh, Wan Nor Hayati Wan Husain. Hadir sama ialah wakil dari Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising.

Che Munah bersama suaminya, Abdullah di hadapan rumah mereka di Kampung Banggol Pak Esah, Selising, Pasir Puteh pada Khamis.
Che Munah bersama suaminya, Abdullah di hadapan rumah mereka di Kampung Banggol Pak Esah, Selising, Pasir Puteh pada Khamis.

Pada Rabu, sebuah video Tiktok berdurasi satu minit memaparkan kegigihan seorang warga emas menjual asam keping di Pasar Siti Khadijah sehingga tular di media sosial selepas dimuat naik seorang pemilik akaun dikenali sebagai @hanifasyraf1.

Artikel Berkaitan:

Video tersebut menyentuh hati netizen menyebabkan ramai yang mahu membantu warga emas berkenaan.

Kisah warga emas berkenaan pernah mendapat liputan akhbar tempatan pada tahun 2019 sebelum dia menerima bantuan daripada pelbagai pihak.

Che Munah akan keluar seawal jam 7 pagi setiap hari untuk berniaga di Pasar Siti Khadijah dengan menaiki kereta sewa dari Pasir Puteh ke Kota Bharu yang mengambil masa kira-kira 45 minit perjalanan.

Dia tinggal bersama suami, Abdullah Jusoh, 66, yang dinikahinya sejak tahun 2012 serta anak tirinya, Mohd Rosli Abdullah, 31.

Abdullah tidak bekerja, manakala Mohd Rosli merupakan seorang buruh yang menerima upah bulanan sebanyak RM800.

Wan Nor Hayati (kiri) bertanyakan khabar Abdullah ketika berkunjung ke rumahnya di Kampung Banggol Pak Esah, Selising, Pasir Puteh pada Khamis.
Wan Nor Hayati (kiri) bertanyakan khabar Abdullah ketika berkunjung ke rumahnya di Kampung Banggol Pak Esah, Selising, Pasir Puteh pada Khamis.

Sementara itu, Wan Nor Hayati berkata, warga emas berkenaan menerima bantuan bulanan JKM sejak tahun 2014 sebanyak RM350 dan dinaikkan kepada RM500 mulai tahun ini.

Malah, katanya, bantuan bulanan JKM yang diterima warga emas berkenaan tidak pernah tertunggak.

"Mengambil kira faktor usia dan situasi Covid-19 ketika ini, JKM berpandangan Che Munah wajar ditempatkan di Rumah Kebajikan Sri Kenangan, Pengkalan Chepa.

"Langkah ini bagi memastikan tahap kesihatan Che Munah berada pada tahap terbaik. JKM tidak mahu dia bekerja pada usia yang sudah terlalu tua," katanya.

Wan Nor Hayati bagaimanapun berkata, JKM akan memujuk warga emas berkenaan untuk menerima tawaran tersebut demi kebaikannya pada masa hadapan.