X

Kindly register in order to view this article
!

Matrade libat syarikat dalam program pembangunan pengeksport, galak eksport

Matrade - Foto Bernama
A
A

PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) merancang untuk melibatkan lebih 13,000 syarikat Malaysia melalui program pembangunan pengeksport dan menggalakkan eksport pada tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport), Abu Bakar Yusof berkata, program ini dirangka untuk memperkukuh daya tahan syarikat tempatan dalam tempoh pemulihan pasca Covid-19.

“Program ini memberi tumpuan kepada mewujudkan lebih ramai juara eksport dalam sektor bernilai tinggi, penggunaan platform digital, keterangkuman, memanfaatkan trend pasaran semasa dan menggalakkan kerjasama strategik,” katanya pada sesi pada hari kedua Hari Eksport eNasional (eNED2021) pada Rabu.

Abu Bakar berkata, program pembangunan pengeksport, memberi tumpuan kepada melengkapkan syarikat dengan kemahiran untuk membangunkan kelebihan strategik dan menggalakkan nilai-nilai kemampanan seperti yang ditetapkan dalam Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG PBB).

Beliau berkata, eNED2021 tepat pada masanya dengan wujudnya komitmen kerajaan untuk kemampanan dan pendigitalan.

Kedua-dua perkara itu merangkumi seluruh rantaian bekalan eksport, iaitu pendigitalan bukan hanya mengenai e-dagang tetapi boleh merangkumi seluruh proses dan kemampanan berkaitan kualiti konsep.

Oleh itu, katanya, Matrade berusaha untuk mendapatkan lebih banyak syarikat tempatan menyertai mereka dalam melaksanakan agenda ini.

“Bagi menyokong kemampanan dalam kalangan pengeksport, kami mempunyai Program Nilai Tindakan Mampan Untuk Pengeksport (SAVE), manifestasi peranan kepimpinan Matrade dalam pelaksanaan kemampanan, sejajar dengan SDG PBB.

“Bagi pendigitalan, Matrade memanfaatkan teknologi dengan meluas untuk menggalakkan eksport sebagai alternatif kepada aktiviti fizikal konvensional yang tidak lagi berdaya maju pada masa ini,” katanya.

Bersesuaian dengan norma baharu, Matrade memanfaatkan teknologi digital untuk menjalankan program menggalakkan eksport dan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kos bukan hanya kepada kerajaan tetapi juga kepada pengeksport - mengurangkan beban kewangan mereka.

Beliau berkata, antara strategi yang dilaksanakan ialah pertemuan perniagaan kepada perniagaan (B2B) dalam talian yang lazimnya dikenali sebagai eBizMatch.

Pada 2020 sahaja, Matrade telah menjalankan sebanyak 1,365 sesi eBizmatch untuk 1,115 syarikat Malaysia dan 703 pembeli asing di seluruh dunia.

“Langkah ini masih dijalankan dan sehingga 31 Mei, sebanyak 354 pertemuan eBizMatch telah diadakan pada tahun ini,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!