Kapal persiaran dilarang masuk ke bandar Venice

Gambar fail menunjukkan sebuah kapal persiaran meninggalkan bandar raya Venice, Itali. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sebuah kapal persiaran meninggalkan bandar raya Venice, Itali. - Foto AFP
A
A
A

ROM - Kapal-kapal persiaran yang besar akan dilarang daripada belayar sehingga ke pusat bandar raya Venice bermula dari 1 Ogos ini, umum kerajaan Itali pada Selasa.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Itali, Mario Draghi yang berkata larangan itu bertujuan untuk melindungi sistem lagun di Venice.

Langkah itu juga akan menyebabkan pelayaran kapal-kapal persiaran yang besar akan dilencongkan ke sebuah pelabuhan perindustrian di Marghera.

Bagaimanapun, langkah itu dianggap akan berkuat kuasa buat sementara waktu sahaja kerana menteri-menteri Kabinet sedang mencari tempat berlabuh baharu kapal-kapal persiaran tersebut.

Menurut AFP, para penumpang yang menaiki kapal-kapal persiaran besar memberikan kesan ekonomi yang besar kepada Venice namun kebanyakan penduduk berkata, ia tidak sepatutnya belayar melepasi Dataran St Mark di bandar raya tersebut.

Menurut mereka, ini adalah disebabkan oleh gelombang ombak besar yang dihasilkan kapal-kapal tersebut boleh menjejaskan asas bandar raya berkenaan dan merosakkan ekosistem lagun di Venice.

Sebelum ini, Venice diletakkan dalam senarai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1987 kerana memiliki seni bina yang luar biasa.

Bagaimanapun, UNESCO memberi amaran pada bulan lalu tentang keperluan untuk menyediakan sistem pengurusan pelancongan yang sesuai dan tidak merosakkan tapak warisan itu. - Agensi

Artikel Berkaitan: