X

Kindly register in order to view this article
!

Polis siasat tembok masjid diconteng cat merah

Polis menyiasat sebuah masjid di Taman SPPK, Ipoh yang diconteng dengan menggunakan cat merah. Foto: Ihsan pembaca
A
A

IPOH- Polis menyiasat kejadian tembok pagar sebuah masjid di Taman SPPK di sini yang diconteng menggunakan semburan cat merah pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima laporan itu daripada seorang ahli jawatankuasa masjid yang berusia 60 tahun.

"Kejadian disedari pada jam 5.15 pagi sebaik pengadu tiba di masjid dan terdapat tulisan cat merah 'jangan buka bunyi terlalu kuat' pada pagar utama masjid itu.

"Pengadu memaklumkan setiap pagi dia akan memasang alunan bacaan al-Quran selama lebih kurang 10 minit sebelum mengalunkan azan Subuh," katanya di sini pada Rabu.

Menurutnya, siasatan mendapati, tiada individu atau kumpulan yang menyatakan rasa tidak puas hati berkenaan bunyi yang kuat dari masjid.

"Tiada pihak yang ada menyatakan rasa tidak puas hati secara zahir melalui lisan ataupun di sosial media.

"Anggaran kerugian untuk mengecat kembali pagar lebih kurang RM100," katanya.

Yahaya berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat ibadat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihaknya tidak jelas motif tulisan itu selepas tidak menerima aduan berkaitan perkara itu.

"Kami ada menyediakan garis panduan mengenai tatacara penggunaan pembesar suara sewaktu azan atau sesi kuliyah. Semua masjid perlu mengikuti garis panduan ini.

"Untuk tulisan itu saya tiada komen kerana tidak pasti apa maksudnya selain tidak menerima aduan bunyi kuat itu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!