Polis siasat video tular kejadian tembakan di Bandar Sunway

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis menjalankan siasatan penyebaran video dan gambar tular berkaitan kes seorang lelaki yang maut ditembak dalam kejadian di premis aksesori telekomunikasi di Bandar Sunway, Subang Jaya pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, video dan gambar kejadian tersebut dikesan tular menerusi media sosial.

"Satu laporan polis telah dibuat berkaitan video yang tular tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan/233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, sekiranya didapati terdapat sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah ini diminta tampil memberikan kerjasama kepada polis melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya).

"Selain itu, orang ramai boleh menghubungi Pegawai penyiasat, Inspektor Mohammad Faiz Naufal Zakaria (019-4858907), segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.

Pada Rabu, seorang lelaki maut ditembak dua lelaki ketika berada di dalam sebuah kedai aksesori telekomunikasi di Bandar Sunway di sini.