Piza kayu api Cameron Highlands

Piza yang dibakar kayu api lebih enak dan mempunyai aroma tersendiri
Piza yang dibakar kayu api lebih enak dan mempunyai aroma tersendiri
A
A
A
DESTINASI rasa strawberi coklat, scones, jagung mutiara dan nasi lemak strawberi adalah antara menu wajib jika berkunjung ke Cameron Highlands. Namun, bagi anda yang inginkan kelainan hidangan di kawasan pelancongan tanah tinggi ini, bolehlah mencuba piza kayu api di Tiny Boutique Cafe di Kampung Taman Sedia. Apa yang menariknya? piza berkenaan dibakar secara tradisional menggunakan ketuhar kayu api. Hanya di Cameron Highlands sahaja yer!

Pemilik kafe, Ahmad Myrza Abdul Rahman, 33, menggunakan kayu api kerana mahukan kelainan. Beliau ingin menyesuaikan sajian itu dengan konsep Inggeris di homestaynya.

"Konsep ini sangat authentic di mana kita mengikut penyediaan asal piza di Itali. Kita kembali kepada asas iaitu kayu, api dan piza.

"Untuk merealisasikannya, kami menggunakan kayu berkualiti iaitu daripada kayu pokok pine yang sudah kering. Kayu ini menghasilkan bau asap yang berbeza dan membuatkan rasa piza lebih sedap," katanya kepada Dapur Femina baru-baru ini.

Proses membakar piza
Proses membakar piza



Ketuhar kayu api

Ahmad Myrza memberitahu, keistimewaan ketuhar kayu api berbanding ketuhar elektrik atau gas ialah membolehkan piza dimasak lebih cepat tanpa merosakkan rasa dan teksturnya.

"Ketuhar biasa tak dapat capai suhu yang tinggi, jadi akan ambil masa nak masak. Ia akan menyebabkan piza kering dan rasanya hilang.

"Tetapi kalau guna kayu api dengan suhu antara 400 hingga 500 darjah Celsius, piza akan masak kurang dua minit. Rasa dan jusnya juga akan lebih 'naik'," katanya.

Artikel Berkaitan:


Pasti ada cabaran mengendalikan ketuhar kayu api. Ya, memang benar, ujar ahli perniagaan itu. Kata beliau, segalanya memerlukan persediaan awal.

"Kita akan bakar kayu dua jam awal bagi mendapatkan suhu yang sesuai sebelum memasak piza. Dari segi nak kawal api semua tak ada masalah," katanya.

Ahmad Myrza
Ahmad Myrza



Piza serunding strawberi

Meskipun mengetengahkan makanan barat, Ahmad Myrza berkata, beliau cuba mengolahkannya dengan cita rasa tempatan. Ini termasuklah menggunakan strawberi sebagai salah satu bahan dalam pizanya.

"Memandangkan Cameron Highlands terkenal dengan strawberi, kita turut perkenalkan piza serunding strawberi.

"Untuk piza ini, kami menggunakan strawberi segar sebagai topping. Setakat ini, maklum balas pelanggan amat baik dan mereka memuji rasanya yang unik," katanya yang belajar sendiri cara membuat piza daripada rakan dan juga Youtube.

Antara pilihan rasa tempatan lain ialah piza rendang daging dan piza ayam percik. Tidak ketinggalan ialah pilihan piza authentic seperti pepperoni dan margherita.

Sebagai tambah nilai, kafe yang baharu beroperasi Disember tahun lalu itu juga memberi peluang kepada pelanggannya untuk mencuba membuat piza dan memilih topping sendiri.

Restoran yang luas dan selesa
Restoran yang luas dan selesa



Di mana Boutique Cafe?

  • Terletak di Kampung Taman Sedia, Cameron Highlands
  • Menawarkan pelbagai jenis piza
  • Piza kayu api pertama di tanah tinggi itu
  • Menggunakan kayu pokok pine untuk membakar piza
  • Restoran ini akan dilancarkan secara rasmi pada Mac ini
  • Ketuhar kayu api diimport dari Amerika Syarikat
  • Setiap piza berukuran 12 inci dengan lapan kepingan dijual pada harga dari RM21.90 hingga RM25.90.