X

Kindly register in order to view this article
!

Jika ada rezeki, tidak ke mana...

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

BARU-BARU ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pengambilan guru secara one-off akan dibuat bagi memenuhi keperluan guru pada masa ini.

Pengambilan yang bakal melibatkan sejumlah 18,702 guru bagi gred DG41 itu turut dibuka kepada graduan bukan bidang pendidikan bagi mengatasi isu kekurangan guru yang berlaku sekarang.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, pengambilan guru one-off bertujuan menampung kekurangan pendidik di Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor selain usaha mencapai perancangan di bawah Pelan Pemulihan Negara.

Menurut beliau, kekurangan guru bagi negeri-negeri terlibat membabitkan sekolah rendah dan sekolah menengah khususnya dalam mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Pendidikan Agama Islam.

“Bagi sekolah rendah, terdapat lima mata pelajaran mengalami kekurangan guru iaitu Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

“Bagi sekolah menengah pula, kekurangan guru bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi,” katanya.

Oleh kerana KPM turut membuka peluang kepada calon yang tidak mempunyai kelayakan ikhtisas dalam bidang perguruan untuk memohon, maka ramai masyarakat melahirkan kebimbangan dengan perkara tersebut.

Mereka bimbang yang strategi tersebut akan menimbulkan lebih banyak masalah kepada struktur dan kualiti pendidik.

Seperti kata Dr Anuar Ahmad dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia yang dipetik dalam sebuah portal, beliau berkata, sepatutnya hanya graduan bidang pendidikan sahaja layak memohon dan diterima untuk mengisi 18,702 jawatan baharu secara one-off yang ditawarkan oleh KPM.

”Analoginya, bolehkah kita mengambil graduan bidang lain untuk menjadi doktor, peguam atau jurutera? Mengapa dalam profesion keguruan ini dibenarkan?'' soalnya yang menyifatkan KPM telah melakukan tindakan yang tidak tepat dan ini akan merosakkan kualiti pendidikan di Malaysia apabila membenarkan graduan bukan pendidikan untuk mengisi jawatan guru secara one-off.

Dalam sebuah grup di Facebook yang keseluruhan ahlinya adalah kalangan guru-guru, turut tidak bersetuju yang KPM membuka peluang pada graduan bukan jurusan pendidikan.

Pandangan seperti ‘Mohon ambil yang berkelayakan, jangan tangkap muat sahaja’; ‘Posting kan graduate pendidikan yang dah lama menunggu untuk bertugas’; ‘Mohon fokus graduan pendidikan UPSI, ambil mereka yang terlatih itu untuk menjadi pendidik’ dan ‘Ramai lulusan pendidikan IPTA belum mendapat kerja, dahulukan mereka’

Juga, ada yang memberi pandangan seperti ‘Graduan pendidikan melambak, ambillah mereka, sejuta harapan mereka mengharap di serap dalam KPM’; Utamakan yang LEBIH UTAMA dari yang UTAMA’ dan ‘Harap KPM ambil graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP)’.

Melihatkan komen-komen ini, ramai yang berharap yang KPM tetap memberi keutamaan kepada graduan pendidikan untuk mengisi 18,702 guru yang diperlukan.

Namun begitu, bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan kepujian (Teknologi Maklumat, Universiti Utara Malaysia, Nur Azwaadiey Rosli, peluang yang KPM berikan itu adalah sesuatu yang tidak akan disia-siakan begitu sahaja.

“Ya, saya memang bukan lulusan pendidikan, namun saya sangat berharap dapat bergelar pendidik satu hari nanti. Bagi saya, kerjaya guru sentiasa ada cabaran dan saya sangat suka pada perkara yang mencabar,” katanya kepada portal GPSBestari, baru-baru ini.

Pada graduan pendidikan dan graduan bukan pendidikan, penulis doakan yang anda semua akan menerima khabar gembira yang dinanti-nantikan selama ini. Insya-Allah, jika sudah rezeki anda, tak ke mana.

Cuma satu sahaja, jika rezeki yang dihajati masih belum diperoleh sedangkan doa dan usaha sudah dilakukan, usah salahkan takdir.

* Roshlawaty Raieh ialah wartawan GPS Bestari


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!