Beberapa kawasan di Raub dilanda banjir

Hujan lebat berterusan sejak awal pagi menyebabkan beberapa kawasan di Raub dilanda banjir mulai petang Isnin. Gambar hiasan
Hujan lebat berterusan sejak awal pagi menyebabkan beberapa kawasan di Raub dilanda banjir mulai petang Isnin. Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Hujan lebat berterusan sejak awal pagi menyebabkan beberapa kawasan di Raub dilanda banjir mulai petang Isnin.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, hujan menyebabkan sungai di tiga kawasan iaitu Ulu Sungai, Semantan Ulu dan Dong melimpah.

"Setakat ini, tiada kehilangan atau kecederaan dilaporkan berlaku dan tindakan segera telah dilakukan untuk memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya semasa dihubungi di sini pada Isnin.

Sementara itu, portal bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan tujuh PPS dibuka di daerah itu bagi menempatkan 207 mangsa daripada 54 keluarga.

PPS Kundang Patah menempatkan mangsa paling ramai iaitu 113 orang daripada 29 keluarga diikuti Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai (37 orang daripada sembilan keluarga), Dewan Serbaguna Kampung Pia (25 orang daripada lapan keluarga) dan Masjid Kampung Kuala Semantan (16 orang daripada lima keluarga).

Dalam pada itu, Balai Raya Kampung Sengkela, Balai Raya Kampung Gesing dan Balai Raya Kampung Chenua masing-masing menempatkan sebuah keluarga dengan jumlah mangsa seramai 16 orang. - Bernama

Artikel Berkaitan: