Buaya tembaga tersangkut pukat diselamatkan

Seekor buaya yang tersangkut di pukat rawai diselamatkan anggota bomba dan Jabatan Perhilitan Melaka di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, hari ini.
Seekor buaya yang tersangkut di pukat rawai diselamatkan anggota bomba dan Jabatan Perhilitan Melaka di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, hari ini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seekor buaya tembaga yang tersangkut pada pukat rawai sejak tiga hari lalu berjaya diselamatkan bomba dan Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka di Kuala Sungai Baru di sini, hari ini.

Operasi yang disertai lebih 10 anggota pihak berkuasa itu bermula lebih kurang jam 11 pagi di pantai terdapat di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, di sini.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Melaka Barat, Mohd Azmi Wahid berkata, haiwan tersebut tersangkut di pukat rawai yang dipasang oleh rakannya yang juga seorang nelayan.

Menurutnya, ketika rakan itu mahu menarik pukat yang terletak kira-kira 400 meter dari darat, bot yang dinaiki bergoyang seperti di laut bergelora sebelum memaklumkan kepada rakan nelayan yang lain mengenai kehadiran spesies tersebut.

“Bila kami datang berhampiran kawasan itu dengan menaiki bot, mendapati memang benar terdapat seekor buaya yang pada mulanya disangka hanya bersaiz kecil, namun bila air surut kami amati saiz kira-kira sepanjang dua meter.

“Kami kemudian menghubungi pihak berkenaan sebelum operasi menyelamat bermula pagi tadi,” katanya.

Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba Melaka, Penguasa Kanan Bomba l, Ahmad Zaidi Safuan berkata, sejak semalam anggota turun padang melakukan pemantauan dan atas faktor keselamatan operasi dilakukan pagi ini.

“Kita berjaya selamatkan buaya itu yang tersangkut di pukat, namun usaha untuk merawat haiwan yang dipercayai mengalami cedera akibat terkena dawai tidak dapat dilakukan setelah ia terlepas ketika usaha menarik haiwan itu ke darat dilakukan,” katanya.

Tambahnya, pihaknya bersama pihak berkuasa yang lain akan terus memantau kawasan itu bagi memastikan lokasi berkenaan benar-benar selamat untuk dikunjungi orang ramai sekali gus mengurangkan kebimbangan orang awam terutama penduduk kampung.