Yayasan Ragad santuni golongan memerlukan menjelang Aidiladha

Riffai (tiga dari kiri) bersama Hashim (kiri), Sarhan (kanan) dan Lilarozaini (dua dari kiri) sebelum penyerahan sumbangan itu dalam satu majlis ringkas di Kuala Lumpur pada Isnin.
Riffai (tiga dari kiri) bersama Hashim (kiri), Sarhan (kanan) dan Lilarozaini (dua dari kiri) sebelum penyerahan sumbangan itu dalam satu majlis ringkas di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Ragad dengan kerjasama Sinar Harian menyantuni golongan memerlukan di Perumahan Awam Desa Rejang di sini menerusi penyerahan barangan keperluan sempena Hari Raya Aidilada.

Pada program itu, seramai 50 orang penduduk dipilih bagi menerima bantuan barangan keperluan seperti daging, ikan, ayam dan telur.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ragad, Datuk Riffai Husain berkata, pihaknya membuat sedikit kelainan pada program kali ini apabila memberikan barangan basah kepada penduduk sebagai persediaan menyambut hari perayaan tidak lama lagi.

"Bagi penerima bukan Islam pula, kita memberi ayam dan beberapa jenis ikan untuk keperluan mereka.

"Terima kasih kepada Pengasas Yayasan Ragad, Toh Puan Raghad Kurdi Taib yang tampil dengan cetusan idea bagi menyampaikan sumbangan ini," katanya selepas menyerahkan sumbangan berkenaan di Perumahan Awam Desa Rejang di sini pada Isnin.

Hadir sama pada program itu ialah Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang; Ketua Program dan Kempen Yayasan Ragad, Lilarozaini Hussain dan Pengarah Operasi Yayasan Ragad, Sarhan Ismail.

Sementara itu, Lilarozaini berkata, penyerahan tersebut juga merupakan kesinambungan program Kamek Prihatin yang dilaksanakan di Sarawak sebelum ini bagi membantu golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Program ini kini dikembangkan ke seluruh Malaysia bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu dan disantuni," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: