Kondominium runtuh: Korban meningkat kepada 90 orang

Bangunan 12 tingkat di Surfside itu runtuh ketika puluhan penghuni sedang nyenyak tidur pada 24 Jun lalu. - Foto Reuters/Marco Bello
Bangunan 12 tingkat di Surfside itu runtuh ketika puluhan penghuni sedang nyenyak tidur pada 24 Jun lalu. - Foto Reuters/Marco Bello
A
A
A

MIAMI - Angka korban runtuhan bangunan kondominium di pantai Miami, Florida, Amerika Syarikat (AS) kini meningkat kepada 90 orang, dengan 71 daripadanya telah dikenal pasti oleh ahli keluarga mangsa.

Perkara itu disahkan oleh Datuk Bandar Miami Daniella Levine Cava pada Ahad, sambil memaklumkan bahawa terdapat 31 mangsa lagi masih belum ditemui di lokasi tragedi itu.

Pada Sabtu, pihak berkuasa dilapor telah menjumpai ramai lagi mangsa memandangkan kru petugas keselamatan berjaya mengalihkan kesan runtuhan yang besar di kawasan itu.

Jelas Cava, setakat ini kira-kira 14 juta paun konkrit telah berjaya dialihkan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kru antarabangsa yang turut hadir bagi membantu usaha mengesan mangsa tragedi.

Dalam pada itu, kata Datuk Bandar Surfside, Charles Burkett, jurutera yang memeriksa Champlain Towers North akan melaporkan beberapa hasil siasatan tidak lama lagi.

“Hasil awal mendapati kekuatan konkrit adalah sangat baik.

"Namun, mereka perlu menganalisis kandungan konkrit bangunan itu, dan ia akan memakan masa lebih lama,” kata Burkett

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini punca tragedi runtuhan masih lagi tidak dapat dipastikan.

Bagaimanapun, menurut laporan yang dikeluarkan pada 2018, jurutera bangunan memaklumkan bahawa bangunan itu mengalami "kerosakan struktur yang besar", dengan penemuan terdapat "keretakan yang banyak" di kawasan parkir bawah tanah bangunan itu.

Pada 24 Jun lalu, bangunan setinggi 12 tingkat di Surfside itu runtuh ketika puluhan penghuni sedang nyenyak tidur.

Tiada mangsa yang ditemui terselamat setakat ini. - AWANI