X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat harap dapat kembali ‘bebas’

Kadar purata vaksinasi Covid-19 harian negara kedua terbaik selepas Singapura menurut data Our World in Data. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Setelah hampir 17 bulan negara berhadapan dengan ketidaktentuan akibat pandemik Covid-19, rakyat akhirnya ditemukan dengan satu langkah penyelesaian lebih jelas apabila kerajaan mula melaksanakan program vaksinasi bermula Mac lalu.

Dengan menyasarkan imuniti kelompok kepada 80 peratus rakyat Malaysia menjelang akhir tahun ini, Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) merupakan solusi membendung penularan wabak tersebut.

Sehingga 8 Julai, Malaysia berjaya memenuhi nilai ambang pertama untuk peralihan daripada fasa satu kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila seramai 3,190,789 orang atau 10 peratus penduduk negara sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19.

Kadar pemberian vaksin negara dijangka akan terus meningkat dengan lebih pantas bermula bulan ini apabila negara menerima sebanyak 12 juta bekalan vaksin.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menjangkakan kadar vaksinasi di Malaysia akan mencapai 30 ke 40 peratus penduduk menjelang Ogos ini.

Dengan sebahagian besar rakyat Malaysia sudah mula melengkapkan vaksinasi, kerajaan dijangka mula memperkenalkan garis panduan pengendalian serta faedah bakal diterima oleh mereka yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19.

Rata-rata rakyat yang ditemui melahirkan harapan mereka supaya garis panduan penerima vaksin akan diperkenalkan kerajaan itu meliputi kebenaran untuk rentas negeri dan daerah.

Selain bertujuan untuk bertemu dengan ahli keluarga yang sudah lama tidak berjumpa, faktor keperluan kerja, ekonomi dan sosial juga menjadi antara alasan utama diberikan rakyat.

Faedah dan kelonggaran lain yang diutarakan oleh rakyat ketika ditemu bual ialah kebenaran untuk pengusaha perniagaan beroperasi dengan lebih optimum dan membenarkan semula aktiviti pelancongan.

Seorang peniaga daripada Kuala Lumpur, Erzal Rosi, 35, berkata, sudah lebih setengah tahun tidak pulang ke kampungnya di Perak dan Kedah dan dia amat berharap agar garis panduan dikeluarkan kelak akan membenarkan aktiviti rentas negeri.

“Sudah pasti kebenaran pulang ke kampung bukan sahaja menggembirakan buat saya, malah juga ahli keluarga lain yang sudah lama tidak dapat melepaskan rindu antara satu sama lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebagai peniaga, dia turut meminta kerajaan agar membenarkan pengusaha yang sudah melengkapkan vaksin untuk menjalankan semula perniagaan mereka tanpa had masa walaupun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Di samping itu, saya juga yakin kelonggaran untuk melancong adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia bagi mengubat jiwa dan fizikal yang sudah lesu menjalani kehidupan dalam situasi pandemik ini,” ujarnya.

Sementara itu, imam sebuah masjid di Temerloh, Pahang, Badrul Hisham Abdul Aziz, 54, berkata, rakyat yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 juga sepatutnya dibolehkan untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu berjemaah di masjid dan surau-surau.

“Sekiranya masjid dan kegiatan agama dapat diteruskan seperti biasa kepada penerima vaksin, jemaah tidak akan rasa ragu-ragu dan terlalu takut dengan keselamatan mereka.

“Ini akan memudahkan ibadah dan kegiatan seperti kelas agama serta tadarus dapat dilakukan,” jelasnya.

Pegawai penyelidik di sebuah universiti tempatan, Zaharul Abdullah, 32, berkata, penerima dua dos vaksin Covid-19 perlu diberikan kelonggaran lebih besar berbanding mereka yang enggan menerima vaksin.

Sebagai seorang penyelidik, katanya, kelonggaran seperti rentas negeri dan daerah termasuk kebenaran ke luar negara amat membantu dalam lapangan pekerjaannya.

“Pembukaan sektor ekonomi lain termasuk hotel juga membolehkan kumpulan penyelidik untuk menganjurkan program seperti perbincangan akademik.

“Kebenaran ke luar negara untuk menyertai persidangan penyelidikan akan membolehkan kami membina rangkaian,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa rakyat mahu selepas dua dos vaksin

Kurangkan tekanan rakyat


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!