Misi besar FAM

Ong Kim Swee
Ong Kim Swee
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai misi besar untuk mempersiapkan pasukan layak secara merit ke Sukan Olimpik di Paris pada 2024.

Namun, hasrat itu bukanlah mudah untuk direalisasikan dengan langkah pertama FAM memutuskan untuk menghantar pasukan bawah 20 tahun (B-20) pada kempen Kelayakan Piala Asia B-23 pada 27 hingga 31 Oktober depan.

Badan induk bola sepak negara itu menjelaskan bahawa pasukan B-20 itu akan dibentuk mulai sekarang dengan memberikan pendedahan dan pengalaman sekali gus menyaksikan pasukan sama akan disandarkan untuk mengalas hasrat layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee bagaimanapun enggan memberikan janji terlalu awal kemampuan pasukan negara untuk layak ke Olimpik 2024 namun menegaskan perancangan sudah diatur ke arah merealisasikan misi itu.

"Saya tak berani menjanjikan. Bukan kata kita buat persiapan sekarang dengan bentuk pemain B-20 kita akan layak ke Olimpik 2024. Tetapi, perancangan itu perlu ada yang mana seperti saya katakan pemain-pemain B-20 ini sudah tidak bersama hampir dua tahun (ekoran tiada kejohanan akibat Covid-19).

"Kita tahu pemain-pemain ini bagi saya pemain generasi masa hadapan. Jika mereka dikumpulkan bersama pada tahun ini untuk kelayakan (Piala Asia) dan contoh jika mereka layak ke peringkat akhir, bayangkan berapa banyak kejohanan penting yang akan mereka lalui.

"Jika tidak layak, ia memberikan pengalaman dan pendedahan apa yang perlu kita capai dalam setiap kejohanan. Jadi perancangan itu penting untuk mereka disiapkan sebelum 2024," katanya.

Mengulas lanjut, Kim Swee turut menjelaskan pengendali skuad B-20 negara, Brad Maloney sudah mempunyai senarai besar pemain untuk diketengahkan dalam misi Olimpik ini.

Artikel Berkaitan:

"Pemain yang sama seperti Brad bawa ketika AFC yang sepatutnya kita layak secara merit ke Uzbekistan tahun lalu tetapi terpaksa dibatalkan. Pemain-pemain yang sama seperti Luqman Hakim Shamsudin dan ramai lagi yang sudah bersama Brad sebelum ini.

"Pemain yang kita bawa berusia bawah 20 tahun akan dikekalkan dan dipersiapkan untuk Olimpik 2024 walaupun apa jua keputusan di kelayakan Piala Asia itu nanti. Kita kena faham ini pentas untuk memberikan pendedahan kepada pemain-pemain muda ini.

"Mereka juga akan dikekalkan untuk menghadapi Sukan SEA di Vietnam yang sudah ditunda dan Sukan SEA pada 2023 nanti," katanya.