1,350 pek barangan keperluan asas diagih di dua lokasi PKPD

Petugas dan tetamu kehormat yang hadir merakamkan gambar bersama selepas menyerahkan sumbangan kepada penduduk memerlukan di dua lokasi PKPD di sini.
Petugas dan tetamu kehormat yang hadir merakamkan gambar bersama selepas menyerahkan sumbangan kepada penduduk memerlukan di dua lokasi PKPD di sini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,350 pek barangan keperluan asas diagihkan di dua lokasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerusi Program Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Prihatin Kasih Asnaf 3.0.

Penyerahan sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar kepada penduduk terjejas di kawasan PKPD Lembah Pantai dan Taman Ikan Emas di sini.

Unit Komunikasi Korporat MAIWP berkata, agihan sumbangan itu adalah menggunakan dana zakat wakalah Pusat Pungutan Zakat MAIWP (PPZ-MAIWP) dengan nilai RM150 setiap satu.

"Program sumbangan ini merupakan siri ketiga malah ia turut mendapat perhatian Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Tan Sri Jamaludin Ibrahim yang turut menjadi penyumbang dana wakalah ini.

"Selain itu, wakil Richworks International Sdn Bhd (Richwork), Suley Nordyna Yahya turut menyumbang 400 set barangan keperluan asas seperti beras, tepung, minyak dan gula," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Hadir sama sewaktu penyerahan sumbangan itu adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.

Dalam pada itu, MAIWP menyeru orang ramai agar dapat bersama-sama membuat laporan kepada pihaknya sekiranya terjumpa atau mempunyai maklumat mengenai individu memerlukan di Wilayah Persekutuan.

"Laporan boleh dibuat menerusi aplikasi telefon pintar Mobil Jejak Asnaf (MoJA) bagi memudahkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal-MAIWP turut padang memberikan bantuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, orang awam yang layak menunaikan zakat disaran melunaskan tanggungjawab masing-masing menerusi capaian www.zakat.com.my atau aplikasi MyZakat bagi membantu lebih ramai pihak memerlukan sewaktu pandemik Covid-19 ini.