Kelantan boleh capai imuniti kelompok pada Oktober

Ahmad Yakob (kanan) meninjau pelaksanaan proses vaksinasi pada Program Outreach Vaksinasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Pasir Pekan hari ini. -Foto Bernama
Ahmad Yakob (kanan) meninjau pelaksanaan proses vaksinasi pada Program Outreach Vaksinasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Pasir Pekan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Kelantan berada di landasan yang betul untuk mencapai imuniti kelompok dengan sasaran 70 hingga 80 peratus daripada 1.2 juta rakyat di negeri itu menerima vaksin menjelang Oktober ini, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata, ini berasaskan kepada kepada proses vaksinasi yang berjalan lancar di seluruh negeri selain bekalan dos vaksin yang bakal diterima dalam jumlah besar mulai bulan ini.

"Kelantan dijangka menerima 438,000 dos vaksin bulan ini dengan penghantaran akan dilakukan secara berperingkat setiap minggu," katanya kepada pemberita selepas meninjau program Outreach Vaksinasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Pasir Pekan di sini pada Ahad.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan berkata, program outreach itu merupakan kerjasama antara Pusat Khidmat ADUN Pasir Pekan, Penghulu dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

"Hari ini seramai 200 orang akan terima vaksin, program akan dilaksanakan selama empat hari melibatkan 800 orang penerima dari sekitar kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Ahmad mengingatkan penduduk agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama ketika sambutan Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini bagi memastikan kes harian negeri itu kekal menurun seperti yang direkodkan sekarang.

Pada Sabtu, Kelantan mencatatkan 89 kes baharu Covid-19 dengan 2,467 kes masih dalam rawatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: