Petit saran Mbappe sertai Liverpool

Mbappe
Mbappe
A
A
A

LEGENDA Perancis, Emmanuel Petit menyarankan Kylian Mbappe untuk menyertai pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool sekiranya mahu meninggalkan Paris Saint Germain (PSG).

Menurutnya, Liverpool dilihat pasukan sesuai buat Mbappe terutama untuk mencari cabaran baharu dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.

"Perkara paling sukar ketika ini adalah terlalu sedikit kelab yang sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan pemain dalam keadaan sekarang ini.

"Jadi, nampak sukar untuk dia berhijrah. Namun, jika dia tetap mahu berpindah, Liverpool adalah pasukan yang dilihat sesuai dengannya," katanya yang pernah beraksi bersama Arsenal dan Chelsea di EPL.

Kontrak pemain berusia 22 tahun itu bersama PSG akan tamat tahun depan dan dia masih belum memutuskan sebarang perjanjian baharu dengan kelabnya itu.

Ia sekali gus menimbulkan andaian bahawa Mbappe mahu meninggalkan PSG dengan beberapa kelab gergasi Eropah dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Namun, Petit turut berpendapat Mbappe seharusnya kekal di PSG selepas kelab itu sudah menyambar beberapa pemain berstatus bintang Georginio Wijnaldum, Sergio Ramos dan Achraf Hakimi.

"Saya melihat Mbappe mempunyai cita-cita yang besar dan mahu mencapai banyak perkara dalam kariernya. Mungkin dia tidak mahu menandatangani kontrak baharu kerana mahu memberi isyarat kepada pasukan untuk mendapatkan lebih ramai pemain bintang.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang, PSG sudah menandatangani ramai pemain yang bagus seperti Ramos dan Hakimi selain akan menandatangani Gianluigi Donnarumma. Saya sudah lupa bila kali terakhir PSG menandatangani ramai pemain yang bagus dan diperlukan oleh kelab seperti apa yang mereka lakukan sekarang.

"Saya percaya jika Mbappe terus kekal di PSG dia akan berjaya menang Ballon d'Or atau Liga Juara-juara bersama PSG," katanya.