Capaian internet jadi isu, dikhuatiri beri kesan kepada pelajar

Isu kelajuan dan capaian internet akan timbul apabila sebuah rumah terpaksa berkongsi kuota bagi menghadiri sesi PdPR. Gambar kecil: Sabariah.
Isu kelajuan dan capaian internet akan timbul apabila sebuah rumah terpaksa berkongsi kuota bagi menghadiri sesi PdPR. Gambar kecil: Sabariah.
A
A
A

ALOR SETAR - Capaian internet kurang memuaskan di Kampung Setol, Yan di sini dikhuatiri memberi kesan kepada pelajar untuk mengikuti sesi belajar secara dalam talian.

Seorang wanita, Sabariah Saad, 52, berkata, dia mendapati anaknya mula kurang bersemangat untuk belajar berikutan masalah capaian internet yang berterusan dialami mereka.

Menurutnya, dia mempunyai tiga orang anak yang masih belajar termasuk seorang yang menuntut di sebuah universiti.

“Ketika ini, kebanyakan pengajaran secara dalam maya, namun anak-anak berdepan masalah mengakses bahan dari internet sehingga sedikit sebanyak menghilangkan minat mereka untuk belajar.

“Sebagai contoh, ada sesi dinamakan ‘rak buku’ yang memerlukan pelajar membaca buku tetapi bahan bacaan itu tidak dapat diakses,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad pada Sabtu.

Sabariah berkata, anaknya juga perlu membuat satu kerja ataupun ujian, namun gagal mencari maklumat diperlukan dalam Google disebabkan masalah capaian internet.

Sebelum ini, beberapa kanak-kanak di Kampung Setol di sini juga dilaporkan terpaksa duduk di tepi sungai bagi membolehkan mereka belajar termasuk menghantar tugasan kerana masalah capaian internet di kawasan itu.

Di KUALA TERENGGANU, masalah kehabisan kuota serta capaian internet yang lemah mengalih fokus serta tumpuan murid untuk belajar. Situasi itu diakui seorang guru, Wan Sabariah Wan Musa, 48, yang mempunyai lima anak yang belajar di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Artikel Berkaitan:

Guru Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah Darul Iman, Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus itu berkata, pelajar sekolah menengah dilihat masih bersemangat untuk belajar secara online dan masing-masing teruja belajar menggunakan alatan peranti seperti tablet atau laptop.

No Image Caption

“Masalah capaian internet biasanya berlaku apabila dalam satu rumah ramai guna internet dan mungkin line jadi perlahan serta kuota cepat habis.

“Situasi itu menimbulkan masalah lebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai anak ramai serta tidak mempunyai kelengkapan belajar yang mencukupi,” katanya.

Wan Sabariah berkata, berdasarkan pemerhatian, pelajar sekolah rendah lebih gemarkan kelas secara bersemuka dengan guru berbanding secara online.

Di KLUANG, terpaksa berkongsi telefon untuk belajar secara dalam talian dan sukar memahami subjek yang diajar merupakan antara dilema yang dihadapi oleh pelajar buat masa ini.Tempoh lebih setahun terpaksa bergelut dengan masalah yang sama bukan sahaja membuatkan pelajar penat, turut memberikan tekanan kepada ibu bapa.Seorang bapa dari Felda Ayer Hitam, Roslan Eirin, 51, berkata, masalah itu membuatkan anak-anaknya sukar untuk memberikan tumpuan, apatah lagi dengan pelbagai masalah telefon semasa sesi pembelajaran.

“Empat anak saya terpaksa bergilir-gilir menggunakan telefon saya dan isteri. Keutamaan untuk anak yang bersekolah menengah dan kemudian giliran anak yang lain.

“Macam mana mereka nak fokus dalam keadaan sebegini. Adakalanya telefon cepat habis bateri. Pernah satu ketika terputus bekalan elektrik, telefon pula bateri hampir habis. Masalah-masalah ini nampak kecil tapi mengganggu mereka,” katanya.