X

Kindly register in order to view this article
!

Kes bunuh diri jadi ancaman baharu

A
A
NORMALISASI kelangsungan hidup kira-kira 32 juta rakyat Malaysia ditimpa musibah sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penularan wabak Covid-19 sebagai pandemik pada Mac tahun lalu.

Rakyat Malaysia yang telah menikmati kehidupan serba sempurna melalui variasi pembangunan moden bagaikan hilang keistimewaan kebebasan apabila Covid-19 menuntut pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penutupan sektor ekonomi dan sosial serta pengenalan prosedur operasi standard (SOP), dan akhirnya proklamasi darurat.

Kesemua tuntutan itu terutama penutupan sektor ekonomi telah mencetuskan implikasi buruk kepada kelangsungan hidup rakyat jelata, malah menyebabkan orang ramai hilang punca pendapatan dan terpaksa menanggung penderitaan untuk menyara keluarga masing-masing.

Menurut akhbar harian Malaysia Nanban, norma kehidupan orang ramai yang mengalami gangguan tidak diduga itu menyebabkan mereka terjerumus dalam tekanan mental dan emosi sehingga membawa kepada tindakan membunuh diri.

Menurut Malaysia Nanban lagi, ketika krisis Covid-19, Malaysia digemparkan dengan kes-kes membunuh diri yang menunjukkan jumlah mendadak dan membimbangkan semua pihak.

Laporan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini menyatakan sebanyak 1,708 kes bunuh diri telah direkodkan dalam tempoh berlakunya pandemik Covid-19.

Pada 2019, sebanyak 609 kes dilaporkan, diikuti 631 kes pada 2020 dan bermula Januari sehingga Mei tahun ini, sebanyak 468 kes bunuh diri direkodkan.

Selangor mencatatkan jumlah kes bunuh diri tertinggi iaitu sebanyak 117 kes dalam lima bulan pertama tahun ini berbanding negeri-negeri lain.

Akhbar harian itu menjelaskan bahawa pelaksanaan pelbagai fasa PKP yang berterusan dan penutupan sempadan-sempadan negara telah mengehadkan talian perhubungan secara fizikal bersama insan tersayang dan ahli keluarga.

Lebih menyayat hati, ada segelintir individu tidak dapat bersama insan yang disayangi buat kali terakhir disebabkan pandemik Covid-19. Ada pula yang terpaksa menjalani kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang gara-gara tiada duit untuk membeli barang keperluan harian.

Bukan itu sahaja, sebelum ini golongan rakyat yang berada dalam kumpulan M40 dan T20 turut menerima tempias. Mereka perlu menanggung kos hutang yang tinggi.

Senario seumpama itu mengakibatkan rakyat semakin hari semakin hidup dalam ketakutan sehingga mengundang kepada kemurungan teruk, lalu sanggup mengambil keputusan mengorbankan nyawa sendiri.

Pihak kerajaan dalam pada itu terus mengimplementasikan pelbagai inisiatif pemulihan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara bebas wabak Covid-19.

Namun, trend jangkitan kes masih belum mencapai sasaran, malah ia seakan memberi amaran bakal melumpuhkan sektor kesihatan negara.

Justeru, Malaysia Nanban mengesyorkan kepada kerajaan agar meminta wakil-wakil rakyat turun padang menziarah setiap keluarga di kawasan masing-masing bagi mengetahui situasi sebenar dan kedudukan kewangan mereka.

Dengan inisiatif itu, orang ramai dapat berkongsi masalah yang dihadapi dan wakil rakyat dapat menghulurkan bantuan bagi mengurangkan beban mereka.

Peningkatan kes bunuh diri menjadi ancaman baharu kepada negara yang masih berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Ancaman baharu itu perlu dirawat dengan segera supaya orang ramai tidak mengambil tindakan membunuh diri sebagai jalan pintas untuk keluar daripada dilema hidup yang dihadapi.

Peningkatan kes bunuh diri menjadi ancaman baharu kepada negara yang masih berhadapan dengan pandemik Covid-19.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)



Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!