PRU15: Pejuang akan pertahan kerusi Langkawi

Dr Mahathir (dua dari kiri) bergambar bersama petugas kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan KEDA Pulau Tuba, pada Sabtu.
Dr Mahathir (dua dari kiri) bergambar bersama petugas kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan KEDA Pulau Tuba, pada Sabtu.
A
A
A

LANGKAWI - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan meletakkan calon bagi mempertahankan kerusi di Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun calon berkenaan belum diputuskan.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, beliau sendiri belum pasti sama ada akan terus menyandang kerusi miliknya itu pada pilihan raya akan datang berdasarkan faktor kesihatannya.

“Pejuang akan bertanding di Langkawi, namun calon belum diputuskan, saya pun tak tahu lagi (bertanding), sekarang sihat esok lusa kita tak tahu,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan KEDA Pulau Tuba, pada Sabtu.

Dr Mahathir berkata, selain Langkawi beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang berpotensi untuk dimenangi sedang dikenal pasti.

"Pejuang akan bertanding di kawasan yang kita nampak boleh bertanding dan menang. Sekarang kita sedang kaji kawasan yang kita boleh bertanding.

"Di Parlimen Langkawi saya sahkan kita bertanding, kita akan cuba letak calon yang agak ramai pada PRU15,” katanya.

Menurutnya, parti itu bertanding pada PRU15 bukan bertujuan mendapatkan manfaat sebaliknya mahu terus berkhidmat untuk rakyat, negara dan agama.

Artikel Berkaitan:

“Calon Pejuang bertanding bukan untuk diri sendiri sebab mahu jadi wakil rakyat atau nak elaun, tapi kita ada matlamat tertentu termasuk menolak rasuah.

"Apa sahaja yang saya boleh lakukan untuk kebaikan negara khususnya Langkawi, saya akan buat,” katanya.

Pada Khamis, Dr Mahathir mengesahkan Pejuang secara rasmi didaftarkan sebagai parti politik pada 8 Julai lalu.

Kelulusan itu diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).