Garis panduan khusus mudahkan pakar tangani kes pesakit mati otak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Etika profesional, garis panduan yang jelas dan perkongsian maklumat awal dengan keluarga pesakit banyak membantu pakar perubatan menangani kes mati otak.

Pengarah Bahagian Undang-Undang dan Etika Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Dr Faizi Rosli berkata, biarpun tiada akta khusus berkaitan kes mati otak seperti yang wujud di luar negara, garis panduan yang dikeluarkan MMC sudah cukup lengkap.

"Garis panduan bersifat khusus manakala akta, lebih general (menyeluruh). Dengan garis panduan ini, ia memudahkan pakar perubatan membuat penilaian dan keputusan mengikut kes," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kertas kerja “Neuroethics and Malaysian Medical Council : Clinical Guidelines and Ethical Perspective on Brain Death di ICORS Round Table Discussion : Neuroethics and the Biology of Consciousness “di sini hari ini.

"MMC banyak menerima pertanyaan daripada pakar perubatan mengenai dilema etika dan undang-undang melibatkan penilaian dan diagnosis kes mati otak," katanya.

Dr Faizi berkata, diagnosis mati otak adalah apabila pesakit didapati 'deep coma’, apnea dan di bawah penggunaan mesin jangka hayat sekurang-kurang dalam tempoh 24 jam serta didapati mengalami kerosakan otak yang nyata.

"Pun begitu, setiap penilaian akan dilakukan oleh dua pakar yang mempunyai sekurang-kurangnya mempunyai tiga tahun pengalaman dalam penilaian mati otak.

Sementara pengesahan kematian otak perlu melalui dua ujian yang dilakukan setiap enam jam sebelum waktu kematian disahkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Dr Faizi, setakat ini kerana belum ada kes yang menyebabkan ‘public inquiries' di mahkamah kerana pendekatan yang diguna pakai pakar perubatan di Malaysia ialah 'Reasonable Accommodation’.

"Antaranya ialah pakar perubatan memberi maklumat kepada keluarga mengenai segala kemungkinan yang berlaku ke atas pesakit dari awal.

Lebih memudahkan keadaan, pakar tersebut juga adalah doktor yang merawat pesakit sejak dari awal iaitu sejak mereka dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU)," katanya.

Mengulas mengenai jumlah kepakaran yang ada di Malaysia bagi mendiagnosis dan mengisytiharkan pesakit kematian otak, Dr Faizi berkata, Malaysia mempunyai kepakaran yang mencukupi dan berpengalaman luas.

"Bukan saja berpengalaman, akses kepada kepakaran ini terdapat di setiap hospital bagi memudahkan keputusan dan penilaian dilakukan," katanya.

Terdahulu, perbincangan meja bulat itu menyentuh pelbagai isu berkaitan perkembangan terkini dalam neurosains dan kesannya terhadap kehidupan.

Antara pakar yang hadir ialah Ketua Jabatan Neurosains Universiti Sains Malaysia (USM) , Prof Dr Zamzuri Idris dan Pakar Jenayah dan Psikologi Universiti Sains Malaysia, Dr Geshina Ayu Mat Saat dan Pengarah Pusat Pengajian Sains dan Persekitaran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh. - Bernama