Buah berkualiti faktor musang king Raub dapat permintaan tinggi

Durian musang king dari Raub diakui berkualiti tinggi dan mendapat permintaaan tinggi setiap musim.
Durian musang king dari Raub diakui berkualiti tinggi dan mendapat permintaaan tinggi setiap musim.
A
A
A

KUANTAN - Buah durian berkualiti tinggi dengan rasanya yang sedap dan menepati selera menjadikan durian musang king Raub sentiasa mendapat permintaan tinggi penggemar 'raja buah' itu dari dalam dan luar negeri.

Kualiti produk durian musang king dari Raub itu diakui kerana hasil yang dikeluarkan pekebun di kawasan terbabit melalui proses penjagaan dan pengurusan kebun yang baik.

Seorang pemborong durian, Dong Chee Hong, 35 mengakui durian musang king gred A dari daerah itu mendapat permintaan tinggi terutama dari Singapura.

"Setiap musim durian, permintaan diterima cukup tinggi sehingga ada ketikanya kami terpaksa membekalkan sehingga lima tan durian sehari bagi menampung permintaan dari dalam dan luar negara.

"Semua sudah tahu durian Raub berkualiti dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri serta berbeza dengan durian di tempat lain," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Chee Hong berkata, ketika ini bekalan durian musang king semakin berkurangan kerana pengeluaran di kebun sudah hampir kehabisan buah

Sementara itu, isterinya yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 31 berkata, selain mempunyai rasa yang sedap, isi durian musang king Raub yang berwarna kekuningan juga mampu membangkitkan selera penggemarnya.

"Durian gred A di sini (Raub) memang menjadi rebutan setiap musim. Pemborong dari Kuala Lumpur dan Singapura boleh dikatakan ramai yang menjadi pelanggan tetap untuk mendapat bekalan di sini.

Artikel Berkaitan:

"Ada juga bekalan durian ini dihantar ke China, bagaimanapun ia bergantung kepada permintaan," katanya.

Lim berkata, durian king musang Raub sudah terkenal dimana-mana sekali gus menjadikan daerah itu sebagai antara pengeluar durian terbaik di negara ini.

"Malah ramai dalam kalangan pelanggan kami turut mengakui durian Raub adalah yang terbaik dan menjadi pilihan mereka terutama gred premium.

"Sebab itu kami sebagai pemborong mengharapkan imej Raub sebagai pengeluar durian terbaik terus kekal demi kepentingan pekebun durian di daerah ini," katanya.

Bagitupun Lim berkata, sebagai pemborong dia turut melahirkan kebimbangan apabila bekalan durian akan merosot pada musim akan datang setelah sebahagian kawasan kebun telah dimusnahkan.