Kerbau dapat permintaan sempena Aidiladha

Mohd Jafri lega kerana kerbau miliknya masih mendapat permintaan pelanggan sempena korban tahun ini.
Mohd Jafri lega kerana kerbau miliknya masih mendapat permintaan pelanggan sempena korban tahun ini.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang penternak kerbau di Kampung Teluk Sentang, di sini boleh menarik nafas lega apabila tempahan haiwan itu untuk dijadikan korban sempena Aidiladha tahun ini meningkat.

Mohd Jafri Abdul Hamid, 51, memberitahu, sebanyak sembilan ekor kerbau miliknya sedia untuk dijual kepada orang ramai tahun ini.

"Setakat ini, enam sudah dijual dan bakinya masih boleh ditempah, berbanding lima ekor yang dibeli orang ramai pada tahun lalu.

"Syukur kerana terdapat peningkatan tempahan biarpun dalam keadaan kos hidup yang kian meningkat," kata beliau kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mohd Jafri menanam sendiri rumput sekali gus dapat mengawal kos makanan ternakan kerbau miliknya.
Mohd Jafri menanam sendiri rumput sekali gus dapat mengawal kos makanan ternakan kerbau miliknya.

Mengakui penternak sepertinya berdepan pelbagai kenaikan khususnya harga bahan makan, dia lega kerana tidak terlalu bergantung sepenuhnya disebabkan rumput ditanam sendiri untuk sumber makanan haiwan ternakannya.

Ujar bekas anggota tentera itu lagi, harga kerbau miliknya juga masih berpatutan kerana pasarannya lebih tertumpu kepada penduduk kampung sekitar.

"Harga seekor kerbau bergantung kepada saiz dalam lingkungan RM4,900 hingga RM7,000.

"Kalau di pasaran di sini, khususnya sekitar kampung dan berhampiran, orang ramai lebih suka dengan daging kerbau berbanding lembu kerana rasanya lebih sedap, berlemak dan kenyal," tambah Mohd Jafri.

Dia yang memiliki 60 ekor kerbau itu mula mengambil alih ternakan tersebut yang diusahakan keluarganya sejak 2020 hingga kini.