Tak mampu sewa rumah, terpaksa tidur di pondok

SGK MAINS turut memberikan sumbangan kepada lelaki terbabit ketika menyantuninya disebuah kediaman sementara di Kampung Jijan,Nilai. -Foto ihsan MAINS
SGK MAINS turut memberikan sumbangan kepada lelaki terbabit ketika menyantuninya disebuah kediaman sementara di Kampung Jijan,Nilai. -Foto ihsan MAINS
A
A
A

NILAI- Seorang lelaki terpaksa tidur di sebuah pondok dalam sebuah kebun di Kampung Jijan selepas dipercayai tidak mampu menyewa rumah kerana kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jijan, Faizul Abdullah, lelaki bujang berusia 37 tahun itu ditemui penduduk pada Sabtu lepas sebelum memindahkannya sementara di sebuah rumah di sini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, lelaki berkenaan bekerja di Selangor sebelum berhijrah ke Negeri Sembilan dan bekerja di sebuah kilang sejak enam bulan lalu.

"Bagaimanapun dia diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.

Dia keluar dari rumah sewa kerana tidak mempunyai pendapatan sebelum ditemui penduduk tidur di sebuah pondok di sini Sabtu lepas," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Faizul berkata, lelaki itu berasal dari Sik, Kedah manakala kedua ibu bapanya telah meninggal dunia.

"Kita juga telah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) malah agensi itu bersama Skuad Gerak Khas (SGK) Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) turut menyantuni lelaki itu baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, SGK MAINS menyampaikan bantuan wang tunai segera berjumlah RM300 melalui Ketua SGK MAINS, Mohd Zahid Mohammad.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Pegawai JKM Seremban, Ahmad Puad Abu.

Tambah Faizul, lelaki berkenaan akan dihantar pulang ke kampung halamannya iaitu di kediaman bapa saudaranya di Kedah pada Isnin ini.

"Segala dokumen berkaitan telah kita peroleh termasuk ujian saringan Covid-19 dan Alhamdulillah keputusannya negatif.

"Saya harap perjalanan membawanya pulang berjalan lancar dan dia dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik selepas ini," katanya.