Anwar dicabar dedah perjanjian Ahmad Zahid dan Najib

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar mendedahkan isi perjanjian yang telah ditawarkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perjanjian itu didakwa menyebabkan Ahmad Zahid dan Najib melakukan sabotaj terhadap perpaduan parti-parti Melayu dan menggantikannya dengan jajaran baharu.

Wan Saiful turut melontarkan soalan kemungkinan kedua-duanya hanya mempergunakan keikhlasan UMNO untuk melepaskan diri daripada hukuman penjara.

“Kalau benar, ini merupakan satu malapetaka besar.

“Mungkinkah Zahid dan Najib pernah minta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan urusan mahkamah, tapi Muhyiddin tak mahu?” soalnya menerusi Facebook beliau pada Jumaat.

Pada Khamis, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendakwa Ahmad Zahid menyimpan dendam terhadap Muhyiddin kerana enggan menolongnya dalam menyelesaikan pertuduhan kes-kes mahkamah yang dihadapinya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai satu pendedahan yang besar.

“Mungkinkah ketegasan integriti Muhyiddin mempertahankan kebebasan mahkamah merupakan sebab sebenar kenapa Zahid dan Najib beria-ia menjadikan Muhyiddin sebagai sasaran?

Artikel Berkaitan:

“Saya sering mengatakan bahawa UMNO ialah parti lama dan mempunyai ramai ahli akar umbi yang ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

“Jika agenda kita ialah agama, bangsa dan negara, maka agenda kita sama,” ujar beliau.