X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Pegawai Veterinar dituduh salah guna jawatan

Norhamizah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan jawatan apabila membuat syor memilih syarikat suaminya bagi kerja-kerja pembekalan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Seorang pegawai veterinar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tiga pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan jawatan apabila membuat syor memilih syarikat suaminya bagi kerja-kerja pembekalan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor.

Norhamizah Abdul Hamid, 42, juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pilihan berhubung kesalahan sama di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Bagi pertuduhan pertama, Norhamizah dituduh menggunakan jawatannya sebagai Pegawai Veterinar, apabila membuat syor memilih Syarikat Iqmiz Enterprise, milik suaminya Iqramudy Sumin, 39, untuk melaksanakan 'Kerja Membekal Peralatan Klinik Bergerak Veterinar' dengan harga RM19,720.

Dia juga dituduh melakukan dua kesalahan sama bagi “Kerja Membekal Peralatan Makmal” dengan harga kerja RM19,937 dan "Kerja Membekal Makanan, Makanan Tambahan (vitamin) dan Syampu Kucing dan Anjing" berharga RM18,960.

Ketiga-tiga pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas tiga pertuduhan pilihan berhubung kesalahan sama mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Norhamizah dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor di Lot 2, Jalan Utas 15/7, Seksyen 15, Shah Alam antara 30 Ogos 2019 hingga 16 Jun 2020.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Mohd Aliff Shaharuzaman manakala tertuduh diwakili peguam L Ramesh dan Nurliny Yusoff.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkannya untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam setiap awal bulan.

Sebutan semula kes pada 26 Ogos 2021. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!