Wanita rugi RM116,734 diperdaya syarikat judi

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang peniaga kerugian RM116,734 akibat diperdaya sindiket perjudian di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 39 tahun itu dikatakan berkenalan dengan seorang lelaki warganegara China yang kononnya pengurus sebuah syarikat perjudian di Macau.

Menurutnya, mangsa yang menjual produk kesihatan dan pakaian tidak pernah bersua muka dengan lelaki terbabit dan hanya berhubung melalui aplikasi Whatsapp.

"Siasatan mendapati modus operandi dijalankan, suspek memperdaya mangsa untuk berjudi dan mendapat pulangan tetap sebanyak 10 peratus dari setiap transaksi dilakukan.

"Suspek juga berjanji untuk membantu mangsa memasarkan produk jualannya di China jika wanita itu mahu bertaruh dalam perjudian dijalankan oleh syarikatnya di Macau,"katanya dalam pada Jumaat.

Noorzainy berkata, akibat terpengaruh dengan tawaran berkenaan, mangsa melakukan transaksi ke beberapa akaun tempatan hingga kerugian RM116,734.

Mangsa membuat laporan polis pada Khamis dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik akaun yang digunakan oleh suspek.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai diingatkan supaya mengambil langkah keselamatan dengan membuat semakan akaun mule sebelum membuat sebarang transaksi di laman web CCID (ccid.rmp.gov.my) atau memuat turun aplikasi Semak Mule CCID di telefon bimbit bagi menyemak jika akaun terlibat dengan mana-mana kes penipuan.