Arumugam inspirasi Yuganes

Yuganes (dua dari kanan) muncul antara penjaga gol kedua terbaik yang berjaya mencatat ‘clean sheet’ tertinggi pada saingan Liga Premier 2021.
Yuganes (dua dari kanan) muncul antara penjaga gol kedua terbaik yang berjaya mencatat ‘clean sheet’ tertinggi pada saingan Liga Premier 2021.
A
A
A

KELIBAT penjaga gol Perak FC II, G Yuganes menarik perhatian apabila muncul antara penjaga gol kedua terbaik yang berjaya mencatat ‘clean sheet’ tertinggi pada saingan Liga Premier 2021.

Pemain berusia 22 tahun itu, yang telah beraksi dalam lima daripada 10 perlawanan setakat ini, berjaya mengawal gawang tanpa dibolosi sebanyak tiga kali untuk berada di belakang penjaga gol Sarawak United FC Sharbinee Allawee.

Bakat Yuganes yang memberangsangkan itu dicungkil daripada Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) semasa beliau berusia 17 tahun.

“Setakat ini, saya banyak melakukan penggiliran dengan Muhammad Farhan Abdul Majid. Kalau boleh saya mahu lebih banyak lagi perlawanan, harap permulaan ini akan menjadi batu loncatan dalam mengembangkan karier kerana sasaran saya mahu bermain di Liga Super pada masa akan datang.

"Mendiang Datuk R Arumugam menjadi antara ikon saya dalam bola sepak dan saya harap mampu menjadi sepertinya satu hari nanti. Saya berhasrat mahu mengisi kekosongan yang ditinggalkannya,” katanya dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Yuganes pernah mendapat panggilan menyertai skuad Bawah-19 tahun negara empat tahun lepas di bawah kendalian Bojan Hodak, ketika beliau bermain bersama MIFA.

Beliau juga pernah mendapat tunjuk ajar oleh penjaga gol berpengalaman, V Murugan semasa di MIFA pada 2018 sebelum memilih haluan bersama skuad Piala Presiden Perak kendalian bekas pemain kebangsaan, K Nanthakumar pada tahun berikutnya.

Dalam pada itu, Yuganes optimis bahawa Perak FC II mampu bangkit bagi menghadapi baki saingan memandangkan pada masa ini mereka sekadar berada di tangga kedua terakhir Liga Premier dengan mengumpul sembilan mata selepas 10 perlawanan. - Bernama

Artikel Berkaitan: