X

Kindly register in order to view this article
!

Sabah bakal terima 2.2 juta dos vaksin

Kerajaan Sabah menyasarkan 60 peratus penduduknya menerima vaksin Covid-19 menjelang Oktober bagi membolehkan lebih banyak sektor perniagaan dan perkhidmatan dibuka.
A
A

RANAU - Sabah dijangka menerima 2.2 juta lagi dos vaksin daripada kerajaan Persekutuan pada bulan ini dan awal Ogos depan dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi rakyat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1 juta dos vaksin akan diterima pada Julai manakala selebihnya iaitu 1.2 juta dos akan dibekalkan kepada Sabah pada awal bulan depan.

“Saya senang hati kerana Sabah akan menerima bekalan vaksin. Jika semua berjalan lancar, kita akan dapat memberi suntikan vaksin kepada rakyat dengan lebih cepat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau operasi vaksinasi petugas Gunung Kinabalu di Taman Kinabalu di sini hari ini.

Kira-kira 300 individu terdiri daripada malim gunung, porter dan kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) menerima suntikan vaksin dalam program itu.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.

Hajiji berkata, kerajaan Sabah mahu memastikan rakyat negeri ini menerima suntikan vaksin secepat mungkin bagi mencapai sasaran imuniti kelompok dalam usaha mengekang penularan jangkitan wabak tersebut.

Kerajaan Sabah menyasarkan 60 peratus penduduknya menerima vaksin Covid-19 menjelang Oktober bagi membolehkan lebih banyak sektor perniagaan dan perkhidmatan dibuka semula termasuk pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik itu.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan bantuan tunai sekali bayar RM300 kepada 290 malim gunung membabitkan nilai keseluruhan RM87,000 dan bantuan bakul makanan.

Beliau turut menyerahkan cek bernilai RM30,000 kepada Persatuan Malim Gunung Kinabalu menerusi peruntukan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah manakala RM20,000 kepada Persatuan Porter Gunung Kinabalu daripada peruntukan Taman-Taman Sabah.

Selepas majlis itu, Hajiji turut meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau gerai sayur di Kundasang dan beramah mesra dengan penjual sayur sambil mendengar masalah yang dikemukakan wakil penjaja termasuk mengenai infrastruktur gerai dan jalan raya di kawasan berkenaan.

Beliau diiringi Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah serta Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang.

Hajiji berkata, kerajaan negeri mengambil maklum setiap permohonan diutarakan termasuk menurap jalan masuk ke gerai itu yang tidak hanya menjadi tumpuan masyarakat tempatan tetapi juga pelancong tempatan dan luar negara. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!