Polis tahan dua lelaki keluar kata kesat, ugut rempuh SJR

Seorang lelaki yang tidak bekerjaenggan beri kerjasama dan telah mengugut anggota bertugas dengan berkata akan merempuh SJR. - Gambar hiasan.
Seorang lelaki yang tidak bekerjaenggan beri kerjasama dan telah mengugut anggota bertugas dengan berkata akan merempuh SJR. - Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua lelaki ditahan selepas menghalang tugas penjawat awam termasuk ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) daerah Kuala Muda dalam dua kejadian berasingan di Sungai Petani pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian pertama, seorang lelaki telah mengeluarkan kata-kata kesat semasa diarahkan berpatah balik oleh anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) PKPD Jalan Bakar Arang, dekat sini pada jam 1.35 petang.

Menurutnya, lelaki yang bekerja sebagai pemandu bas kilang itu telah dimaklumkan bahawa dalam tempoh PKPD tiada sebarang pergerakan keluar dari kawasan itu dibenarkan dan anggota polis telah mengarahkan untuknya berpatah balik, namun dia enggan melakukannya.

"Lelaki berusia 44 tahun yang menunggang sebuah motosikal ini kemudiannya mengeluarkan kata-kata kesat termasuk berkata 'arahan bodoh semua ini'.

Dia mendakwa hendak mengambil makanan daripada makciknya di kawasan berdekatan lampu isyarat Bakar Arang.

"Anggota yang bertugas bertindak meminta dokumen pengenalan diri daripada lelaki itu sebanyak tiga kali untuk diperiksa, namun dia terus berkeras untuk tidak memberi kerjasama.

Lelaki itu kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Adzli semasa meninjau kawasan PKPD Taman Bandar Baru dan Taman Lembah Permai Sungai Lalang di Sungai Petani pada Selasa.
Adzli semasa meninjau kawasan PKPD Taman Bandar Baru dan Taman Lembah Permai Sungai Lalang di Sungai Petani pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam lagi satu kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 47 tahun telah melakukan ugutan jenayah di SJR PKPD Taman Bandar baru, Sungai Lalang, Bedong, dekat sini kira-kira jam 1.15 petang.

Adzli berkata, lelaki yang tidak bekerja tersebut enggan beri kerjasama dan telah mengugut anggota bertugas dengan berkata akan merempuh SJR.

Menurutnya, lelaki berkenaan terus memecut laju melepasi sekatan jalan raya selain cuba merempuh anggota yang cuba menghalang kenderaannya.

"Kejadian tersebut dimaklumkan kepada bilik gerakan daerah Covid-19 Kuala Muda dan anggota Unit Rondaan Bermotosikal serta unit Task Force Bedong berjaya menahan lelaki tersebut di rumahnya di Taman Bandar Baru dan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut,"ujarnya.

Jelas Adzli, hasil siasatan awal mendapati, lelaki berkenaan adalah pemegang kad OKU (sakit mental) dan didapati baru selesai menghantar jirannya seorang wanita untuk dialisis di sebuah hospital swasta, dekat sini.

"Selepas selesai menghantar perempuan berkenaan, lelaki itu hendak masuk ke kawasan PKPD kerana rumahnya berada di dalam kawasan ini.

Dia mahu pulang ke rumah dan hendak keluar semula menghantar makanan kepada jirannya namun tidak dibenarkan," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 506 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16(1) Pencegahan serta Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) Pelan Pemulihan Negara 2021.

"Kedua-dua lelaki ini telah ditahan pada Rabu dan polis akan mendapatkan perintah reman pada Khamis," ujarnya lagi.