Dron permudah pematuhan SOP Kampung Penimbawan

Drone digunakan oleh anggota polis untuk operasi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Panimbawan Tuaran hari ini. - Foto Bernama
Drone digunakan oleh anggota polis untuk operasi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Panimbawan Tuaran hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TUARAN - [DIKEMASKINI] Kawasan geografi Kampung Penimbawan di sini yang mempunyai struktur atas air, muka bumi berbukit dan hutan berpaya menjadi cabaran bagi pihak berkuasa untuk memastikan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu.

Justeru, Polis Diraja Malaysia menggunakan teknologi terkini antaranya dron bagi membantu melakukan pemantauan dan hebahan dalam memastikan penduduk mematuhi SOP ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, pemantauan dan hebahan dibuat melalui udara dengan menggunakan dron DJI Matis 300 RTK bagi memastikan penduduk kampung berkenaan patuh SOP dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Operasi pematuhan SOP ini dibuat dengan kerjasama daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi membuat pemantauan bukan sahaja di darat tetapi melalui laut dan udara agar pematuhan SOP dapat dihebahkan secara lebih efisien dan strategik,” katanya kepada Bernama.

Mohd Hamizi menjelaskan, Pasukan Gerakan Marin ditugaskan membuat rondaan semasa PKPD dilaksanakan di sekitar persisiran pantai pulau berkenaan bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk tanpa kebenaran.

PKPD Kampung Penimbawan yang mempunyai 2,062 penduduk dengan kawasan rumah perkampungan terancang selain rumah atas air itu, dilanjutkan hingga Isnin depan, 12 Julai bagi membolehkan petugas Kementerian Kesihatan membuat ujian saringan secara lebih meluas.

Kampung di dalam daerah Tuaran di pantai barat Sabah itu terletak lebih 65 kilometer dari Kota Kinabalu melalui jalan darat, selain itu pengunjung boleh menggunakan jalan air dengan mendapatkan bot dari Jeti Kampung Serusop di sini dengan perjalanan kira-kira 10 minit.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Tuaran, Dr Noraziah Bakrih berkata, pihak Kementerian Kesihatan melakukan pelbagai inisiatif bagi melibatkan lebih banyak agensi bekerjasama dengan petugas kesihatan awam di kawasan lokaliti PKPD, termasuk pelaksanaan saringan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, Kementerian Kesihatan mengambil sampel daripada 1,452 penduduk kampung terutama golongan berisiko dan 58 individu yang disahkan positif dibawa ke pusat kuarantin,” katanya.

Dr Noraziah berkata, seramai 18 petugas kesihatan awam dari Hospital Tuaran ditugaskan bagi melancarkan saringan kesihatan di kampung Penimbawan sepanjang PKPD dilaksanakan di kawasan itu.

Ujar beliau, Klinik Desa Kampung Penimbawan beroperasi seperti biasa bagi memberi rawatan kepada penduduk kampung yang mempunyai gejala ringan seperti demam, batuk, selesema dan sebagainya. -Bernama