X

Kindly register in order to view this article
!

Isu pekebun durian: Haram tetap haram

Syed Nasrudin
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] "Haram tetap haram. Jangan sesekali menghalalkan tanah yang diceroboh dan diteroka oleh pencerobohan terutamanya di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di seluruh Pahang." Demikian pandangan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Pahang, Datuk Syed Nasrudin Syed Abd Hadi.

Menurutnya, kerajaan Pahang tidak patut mendengar rayuan pekebun haram sebaliknya meneruskan operasi memusnahkan kebun agar tiada lagi aktiviti pencerobohan dan meneroka HSK selepas ini.

Tegas beliau, tindakan pekebun haram durian musang king di HSK Batu Talam, Raub yang menjadikan kemusnahan tanaman durian sebagai isu adalah tidak wajar kerana perbuatan menceroboh juga satu kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

"Kerajaan Pahang dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ada hak untuk menebang kerana semua tindakan itu tertakluk kepada perundangan.

"Jadi, kenapa mereka (pekebun haram) mahu menghalalkan perbuatan mereka, sedangkan perbuatan mereka (ceroboh dan teroka) salah. Jadi kenapa perlu ada pihak meminta 'halalkan' perbuatan yang haram (salah).

"Kalau kita tengok sebelum ini, ada satu kes di Ipoh seorang pesara tentera dipenjara dua tahun dan denda RM50,000 kerana menceroboh hutan. Tapi di Pahang tiada pendakwaan sebegini sedangkan bukti pencerobohan hutan oleh pihak-pihak tertentu itu sudah jelas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Provokasi ketika operasi, 18 pekebun haram durian musang king ditahan

Isu pekebun durian: PGA dihantar ke Raub jaga ketenteraman awam

Musang king: Operasi tebang pokok tidak langgar perintah mahkamah

Pada Ahad, JPNP menahan 18 pekebun haram durian musang king dalam operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub.

Jabatan itu dalam kenyataannya memaklumkan, sepanjang operasi itu dijalankan, mereka berdepan dengan keadaan provokasi pekebun haram termasuk membuat halangan kepada kenderaan untuk keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, anggota jabatan tersebut juga dihalang daripada menjalankan tugas.

Pada Isnin, Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun durian musang king dan pada Selasa mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam pada itu, Syed Nasrudin tidak menolak kemungkinan ada dalang di sebalik kewujudan kebun haram di HSK Batu Talam sehingga menyebabkan operasi penguatkuasaan tertangguh.

Jelasnya, sebelum ini pihaknya sudah menghantar lima memorandum berhubung perkara tersebut sejak tahun lalu, namun tiada tindakan daripada pihak kerajaan.

Tambah beliau, operasi memusnahkan kebun haram itu sepatutnya dilakukan dua tahun lalu selepas aduan daripada pelbagai pihak diutarakan.

"Adakah Kerajaan Pahang dan JPNP baru sedar perkara ini pada beberapa hari lalu. Isu ini sudah lama, adakah mereka tutup mata? Jadi Kita tidak faham kenapa baru sekarang semua pihak bertindak?

"Bila kerajaan ambil tindakan semua pihak sokong, tapi kalau boleh biar penguatkuasaan ini dilakukan secara konsisten, selain perbetulkan kesalahan lalu dan tidak diulangi pada masa akan datang," tegas beliau.

Beliau menasihatkan agar semua pihak tidak menjadikan perkara tersebut sebagai isu perkauman kerana ia membabitkan perundangan.

"Ini bukan isu rasis, jadi kita tidak mahu pemimpin politik mengambil kesempatan dengan menangguk di air keruh," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Proses reman 18 pekebun durian musang king kecoh

Polis buka kertas siasatan terhadap Ronnie Liu

Pekebun durian musang king minta operasi ditangguh


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!