Pilih pengerusi Penang Bar yang tepat

Yan Lee
A
A

tlg up FB FB: 'Ahli jawatankuasa Penang Bar perlu memilih ketua yang betul-betul layak'

GEORGETOWN- Jawatankuasa Peguam Pulau Pinang (Penang Bar) diminta memilih pengerusi yang berkaliber dalam mesyuarat agung tahunannya (AGM) yang akan datang.

Penasihat Penang Citizen Awareness Chant Group, Yan Lee berkata, difahamkan mesyuarat tersebut akan diadakan pada tengahari Rabu ini di Hotel Bayview di sini.

Menurutnya, pemilihan calon yang tepat harus dibuat agar hak rakyat dapat ditegakkan dengan sewajarnya.

"Ahli jawatankuasa Penang Bar perlu memilih ketua yang betul-betul layak. Siapa sahaja yang mereka pilih, haruslah seorang yang berani menegakkan keadilan dengan melaksanakan undang-undang dengan betul.

"Ini kerana, apa sahaja isu yang berkait dengan undang-undang, ketua yang dipilih harus berani ke depan untuk bersuara. Contohnya situasi di Pulau Pinang kini, pihak pemaju dilihat amat berkuasa dengan cuba mempengaruhi kerajaan negeri dalam projek mereka," katanya kepada media tadi.

Tambahnya, Penang Bar juga berperanan untuk memastikan semua pihak yang terlibat dalam pelbagai projek mega di negeri ini termasuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) melaksanakan tanggungjawab mereka mengikut undang-undang yang ditetapkan.

"Kita bimbang akan berlaku insiden tidak diingini jika pelaksanaan projek dilaksanakan tanpa mengikut undang-undang. Malah sudah banyak tragedi yang meragut nyawa berlaku di tapak projek antaranya di Tanjung Bungah dan Bukit Kukus.

"Apa yang merisaukan, jika tiada tindakan dari pihak perundangan, tragedi seperti ini akan berlaku lagi. Sebab itu, kita memerlukan seorang ketua yang berani bersuara dalam Penang Bar. Apa yang tidak betul, pengerusinya harus tampil menyuarakan perkara yang tidak betul itu," katanya.

Yan Lee berkata, lebih membimbangkan, 59 syarat yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam pelaksanaan PTMP bernilai RM46 bilion itu tidak didedahkan kepada umum.

"Saya difahamkan PTMP akan bermula Ogos ini namun sehingga hari ini, kerajaan negeri tidak mendedahkan 59 syarat yang ditetapkan JAS. Perkara ini bukan main-main. Ia amat penting kerana dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang juga berperanan meluluskan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

"Inilah antara contoh perkara yang kita mengharapkan Penang Bar bersuara. Jika berlaku perkara yang tidak betul, mereka menegakkan kebenaran. Dengan pemilihan pengerusi Penang Bar yang berani dan berkelayakan, maka undang-undang di Pulau Pinang dapat dilindungi," katanya.

Jelasnya, beliau memilih wanita untuk memenuhi jawatan tertinggi dalam Penang Bar tersebut kerana wanita lebih berani menyatakan pendiriannya.

"Penang Bar ada tanggungjawab kepada rakyat yang mana, tidak menyokong kepada perkara yang tidak mengikut undang-undang. Bagj saya, jawatan ini lebih elok dipegang oleh wanita.

"Ini kerana, wanita lebih lantang bersuara dalam menegakkan kebenaran. Dengan contoh yang ada seperti Ambiga, beliau seorang yang berani bersuara dalam menyatakan pendirian dan menyangkal perkara yang tidak mengikut undang-undang. Orang seperti ini yang kita mahukan," katanya.