MP UMNO dakwa Zahid akui rakaman audio tular, surat sokong Anwar

Zahid Hamidi (kiri) dan Anwar Ibrahim
Zahid Hamidi (kiri) dan Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang ahli Parlimen UMNO mengesahkan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui kesahihan rakaman audio perbualan beliau dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular, kepada majoriti ahli Parlimen UMNO.

Pengakuan Ahmad Zahid itu dibuat terhadap semua ahli Parlimen UMNO yang hadir dalam satu pertemuan di Wisma Perwira, Pejabat Kementerian Pertahanan pada Isnin malam.

Sumber UMNO yang enggan dinamakan itu turut mendedahkan Ahmad Zahid juga mengesahkan beliau telah menyerahkan surat tandatangan ahli-ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri, kepada Yang di-Pertuan Agong pada tahun lalu.

Jelas beliau, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun mempertahankan tindakan beliau dan tidak menganggapnya melanggar ketetapan parti.

"Dalam pertemuan semalam (Isnin malam), Zahid turut menuntut ahli-ahli Parlimen UMNO supaya menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejurus mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada esok (Rabu) membuat ketetapan berkenaan.

"Bagaimanapun, majoriti besar ahli Parlimen menolak tuntutan itu, sebaliknya mencadangkan lebih baik UMNO menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri dan tambahan kementerian yang lebih dekat kepada rakyat.

"Soal audio tular, Ahmad Zahid sendiri mengaku perkara itu termasuk tindakan menyerahkan surat tandatangan ahli-ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong pada tahun lalu. Tetapi dia anggap perbuatan itu tidak salah," katanya selepas dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Ahmad Zahid tersebar

Rakaman audio: Zahid, Anwar belum buat laporan polis

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai mesyuarat tertutup di antara Ahmad Zahid dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama beberapa pemimpin tertinggi parti itu selama lebih dua jam di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan pada Isnin malam.

Pertemuan itu dibuat dipercayai diadakan susulan beberapa pemimpin tertinggi UMNO berada di Ibu Pejabat parti itu pada Isnin bagi membincangkan tindakan lanjut yang akan diambil selepas berakhirnya tempoh 14 hari diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memanggil sidang Parlimen.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan media menafikan beliau merupakan individu yang terlibat dalam audio rakaman perbualan telefon yang tular bersama Anwar.

Berikutan itu, pejabat beliau membuat laporan polis susulan tersebarnya rakaman audio berdurasi 4 minit dan 16 saat yang didakwa milik suara Ahmad Zahid dan Anwar, membincangkan isu-isu politik semasa termasuk berkaitan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Dalam pada itu, sumber ahli Parlimen UMNO itu menegaskan kumpulan ahli Parlimen UMNO enggan menarik sokongan daripada kerajaan PN pada ketika ini kerana mereka masih memikirkan soal penderitaan rakyat yang terkesan teruk akibat krisis Covid-19.

Jelas beliau, pada saat rakyat bergelut untuk terus hidup susulan krisis yang berlaku, adalah tidak wajar untuk UMNO membuat keputusan bersifat politik seperti keluar daripada kerajaan PN pada saat pandemik.

"Kita tidak mahu keputusan itu akan mengundang kemarahan rakyat dengan UMNO akan dianggap gila kuasa pada saat rakyat bergelut mendepani krisis Covid-19.

"Ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus konsisten menyokong kerajaan sedia ada sehingga Parlimen dibubarkan, sebagaimana diputuskan dalam PAU 2020.

"Lebih baik semua pihak mengenepikan usaha politiking yang tidak menguntungkan rakyat, sebaliknya sama-sama berganding bahu menfokuskan usaha membantu rakyat," katanya.