Kenapa tanah kerajaan diceroboh sebegitu rupa

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

ISU ladang musang king di dalam hutan simpan terus mencetuskan pertikaian antara pekebun durian dan pihak berkuasa negeri di Pahang.

Dalam insiden terbaharu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah bertindak menebang kesemua pokok durian musang king yang telah ditanam secara haram di kawasan seluas 101 hektar dekat Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub.

Kesemua pokok durian itu dianggarkan berumur 18 tahun.

Tahun lalu, seramai 111 pekebun durian diarah mengosongkan kebun di atas tanah kerajaan negeri di Raub tetapi mereka berjaya mendapat perintah untuk menangguhkan sementara notis pengusiran itu daripada mahkamah.

Antara kawasan dusun di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Akibat pencerobohan itu, kerajaan negeri rugi kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun disebabkan kehilangan hasil cukai tanah.

Pertikaian demi pertikaian ini membuktikan pencerobohan hutan simpan dan tanah kerajaan hendaklah ditangani lebih awal.

Semakin lama mereka dibiarkan beroperasi, semakin susah untuk mereka mengosongkan tanah apatah lagi jika ia melibatkan tanaman bernilai tinggi seperti musang king.

Artikel Berkaitan:

Salah satu cara untuk mewujudkan situasi menang-menang ialah kerajaan mengeluarkan lesen pendudukan sementara (TOL) kepada peneroka tanah; pekebun dapat hasil manakala kerajaan dapat mengutip cukai.

Tetapi ia tentulah tidak adil kepada rakyat Malaysia lain di samping menggalakkan lagi pencerobohan tanah menggunakan modus operandi yang sama.

Mereka sepatutnya memohon daripada kerajaan negeri dahulu sebelum mengusahakan tanah dan bukan sebaliknya.

Kegiatan menceroboh ini bukan sahaja berlaku di Pahang malah di seluruh negara.

Maka, tindakan paling wajar ialah menghentikan segera aktiviti menceroboh tanah kerajaan.

Tindakan drastik dan penguatkuasaan yang lebih tegas perlu dilaksanakan.

Pada masa yang sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus menyiasat kemungkinan terdapat individu tertentu atau kakitangan pihak berkuasa sendiri yang terlibat dalam rasuah, kerana jika tidak bagaimana kegiatan itu boleh berlarutan sehingga berpuluh tahun lamanya.