Golongan miskin mengejut akibat PKP dalam radar MBI

Rumaizi (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Persatuan Kebajikan Usahawan Gerbang Malam, Ahmad Irwan (kiri) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Barangan Makanan kepada wakil peniaga Gerbang Malam. - Foto Bernama
Rumaizi (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Persatuan Kebajikan Usahawan Gerbang Malam, Ahmad Irwan (kiri) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Barangan Makanan kepada wakil peniaga Gerbang Malam. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang mengesan penduduk yang menjadi miskin secara mengejut akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak Covid-19 bagi menyampaikan bantuan diperlukan demi kelangsungan hidup mereka.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, MBI sedang memberi fokus terhadap golongan terbabit, selepas pihaknya mengesan peningkatan keluarga yang terjejas pendapatan akibat kehilangan pekerjaan dan perniagaan milik mereka yang tidak dibenarkan beroperasi ketika ini.

“Sekarang ini kita banyak fokuskan kepada golongan miskin mengejut di bandar, kita terima laporan yang mana dahulu dia ada kerja dengan pendapatan RM4,000 hingga RM5,000 sebulan, tetapi kini tiada pendapatan malah perlu membayar wang pinjaman kereta, sewa rumah dan sebagainya.

“Dalam fokus ini, kita akan menyampaikan bantuan segera kepada mereka, sekurang-kurangnya kita tidak mahu dengar di bandar raya Ipoh, ada yang terputus bekalan makanan dan kita juga sedang fikirkan bantuan lain yang boleh diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan barangan makanan oleh MBI dan Boba Tea Sdn Bhd, dengan kerjasama Kelab Sukan & Kebajikan Media Perak kepada wakil peniaga Gerbang Malam, yang masih tidak dibenarkan beroperasi ketika Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah golongan yang jatuh miskin secara mengejut akibat PKP dan penularan wabak Covid-19 itu, namun percaya mereka masih ada dan tinggal di pusat bandar raya ini berdasarkan laporan yang diterima pihaknya.

Rumaizi berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa bentuk bantuan lain termasuk sumbangan bagi anak-anak keluarga terjejas, yang memerlukan peralatan gajet menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), serta bantuan kepada mereka yang mempunyai masalah membayar sewa rumah, dalam usaha menyelamatkan penduduk daripada menjadi gelandangan.

Sebanyak 125 pek makanan kering dan basah di bawah program MBI Prihatin disampaikan kepada wakil peniaga Gerbang Malam di hadapan Dewan Mesyuarat MBI, yang disaksikan Pengerusi Kebajikan Usahawan Gerbang Malam (PKUGM) Ahmad Irwan Othman.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Irwan berkata, para peniaga Gerbang Malam terpaksa akur dengan arahan yang masih tidak membenarkan mereka menjalankan perniagaan, walaupun Perak sudah memasuki Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN.

“Ramai peniaga terpaksa menjalankan perniagaan lain bagi menampung kos sara hidup, termasuk saya sendiri yang menjual makanan dan air minuman, kerana tidak boleh mengharapkan jualan dalam talian semata-mata. Selain menjual makanan, ada juga peniaga yang menjadi penghantar makanan.

“Bagaimanapun, bukan semua peniaga mampu menjalankan perniagaan lain, kerana ada juga peniaga berusia yang kurang mahir untuk membuat jualan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, Gerbang Malam yang merupakan salah satu tarikan popular di bandar raya Ipoh, yang lazimnya menjadi tumpuan orang ramai dari dalam dan luar negeri, kini menjadi sunyi dan lengang tanpa kehadiran pengunjung dan pelancong dan mengharapkan untuk dapat kembali beroperasi dalam masa terdekat. - Bernama