Sindiket judi kaut untung RM2.8 juta tumpas

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Satu sindiket perjudian yang dipercayai telah mengaut keuntungan kira-kira RM2.8 juta sejak enam bulan lepas, ditumpaskan dalam satu serbuan polis ke atas sebuah kondominium di Jalan Song di sini malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, dalam serbuan pukul 9.30 malam itu pihaknya telah menahan empat lelaki tempatan berusia di antara 19 dan 29 tahun, yang dipercayai menjadi pekerja sindiket itu, dengan menerima upah di antara RM1,500 dan RM1,800 sebulan.

“Modus operandi sindiket itu adalah mempromosikan judi dalam talian menggunakan aplikasi seperti WhatsApp, Facebook, WeChat dan Telegram, dengan menyasarkan rakyat tempatan sebagai pelanggan serta beroperasi selama 24 jam sehari,” katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Antara barangan yang dirampas termasuk empat unit monitor dan unit pemprosesan komputer (CPU), 10 telefon bimbit, sebuah ‘router’ serta pelbagai peralatan lain bagi menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

Ahsmon berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 dan penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

“Selain itu pesalah (di bawah seksyen itu) berhadapan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas,” tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: