Parlimen bersidang 26 Julai bukti gesaan UMNO berasas

Sidang khas Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai PPN dan meminda semua perundangan serta peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid. -Foto Bernama
Sidang khas Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai PPN dan meminda semua perundangan serta peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan sidang Parlimen khas boleh kembali diadakan pada 26 Julai, tanpa memerlukan pemberian notis 28 hari bersidang, membuktikan gesaan UMNO terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah berasas.

Lebih penting, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menjelaskan tindakan UMNO memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan PN untuk melaksanakan sidang Parlimen dengan 'segera' dan 'secepat mungkin', benar-benar berkesan dalam mendesak kerajaan PN untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Jelas beliau, hal ini terbukti setelah UMNO berjaya membantu mendefinisikan maksud sebenar titah sidang Parlimen perlu diadakan 'segera' dan 'secepat mungkin' oleh Yang di-Pertuan Agong, walaupun kerajaan PN memberi tindak balas lambat daripada sepatutnya.

"Oleh kerana pengumuman (kerajaan) hari ini dibuat 14 hari setelah UMNO memberi kata dua tanpa notis lengkap dan dimaklumkan tanpa perlu melalui urusan pemberian notis persidangan 28 hari.

"Senario ini membuktikan kerajaan sebenarnya bersikap 'hendak seribu daya dan tak nak seribu dalih' dengan memberikan pelbagai alasan, termasuklah keperluan pemberian notis 28 hari atau Yang di-Pertuan Agong didakwa tidak memberikan satu tarikh khusus, selama ini.

"Situasi terkini juga membuktikan soal pemberian notis 28 hari bukan pengekang sebagaimana digambarkan selama ini, jadi gesaan UMNO berkesan dan berasas," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan terkini kerajaan yang bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat dan 3 hari mulai 3 hingga 5 Ogos 2021 bagi Dewan Negara.

Jelas pejabat Perdana Menteri, sidang khas Parlimen itu bertujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Artikel Berkaitan:

Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiga kali menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan Seri Paduka Baginda kemudiannya bertitah mencadangkan sidang Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos 2021.

Pada 21 Jun, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi kata dua kepada kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah dan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Tempoh 14 hari dikemukakan UMNO berakhir pada Isnin, 5 Julai.

Dalam pada itu, Shahril menegaskan keputusan terkini kerajaan PN berkenaan masih belum memuktamadkan pendirian UMNO, sama ada berpuas hati dan akan terus menyokong kerajaan atau menarik sokongan.

Jelas Naib Ketua Pemuda UMNO itu, perkara tersebut soal lain yang masih perlu diputuskan UMNO sendiri.

"Apapun bila sidang Parlimen kembali berlangsung, kita mengharapkan sidang Parlimen telus dan benar-benar membahaskan segala isu serta perkara wajib dibentang, seperti Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pelan perbelanjaan kerajaan dan Pelan Pemulihan Negara, selaras dengan titah Seri Paduka Baginda.

"Tapi sama ada UMNO puas hati atau tidak atau mahu terus menyokong kerajaan PN, itu soal lain yang masih perlu diputuskan parti," katanya.