Tergamam lihat pusaran putih: Mangsa ribut

Siti Rohani (kanan) bersama Salmi menunjukkan bumbung rumah yang diterbangkan angin.
Siti Rohani (kanan) bersama Salmi menunjukkan bumbung rumah yang diterbangkan angin.
A
A
A

KLUANG - Sebanyak tujuh rumah penduduk di Jalan Yap Tau Sah, di sini, mengalami kerosakan bumbung akibat dibadai angin kuat dalam kejadian jam 12.50 tengah hari kelmarin.

Mangsa, Siti Rohani Musa, 59, berkata, ketika kejadian dia sedang memasak kek coklat untuk anaknya di dapur sebelum terdengar bunyi kuat dari arah bumbung disusuli pusaran angin di luar rumahnya.

"Ketika kejadian semalam (kelmarin) cuaca memang panas dan tak ada tanda nak hujan dan tambah takut saya lihat pasu-pasu bunga di belakang rumah bergegar akibat angin terlalu kuat.

"Memang tak boleh buat apa sebab dah tergamam ketika itu dan saya cuma meminta anak dan cucu supaya berlindung," katanya.

Siti Rohani berkata, beberapa keping zink pada tandas dan dapur rumahnya turut rosak diterbangkan angin selain mengakui kejadian tersebut merupakan kali kedua berlaku sejak dia tinggal di rumah berkenaan kira-kira 15 tahun lalu.

Sementara itu, jirannya, Salmi Satari, 64, yang tinggal bersebelahan rumah Siti Rohani berkata, ketika kejadian dia berada di rumah jirannya kerana membuat persiapan majlis perkahwinan.

"Ketika itu saya nampak pusaran angin tersebut berwarna putih pekat namun tidak menyangka salah satu rumah yang rosak akibat kejadian itu adalah rumah saya dan Siti Rohani beritahu saya bahawa sebahagian bumbung dapur rumah rosak diterbangkan angin itu," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, kesemua pemilik rumah telah membuat laporan polis dan JKM berhubung kejadian tersebut dan pemantauan ke lokasi oleh agensi yang terlibat dan bantuan awal telah diberikan petang kelmarin.

Artikel Berkaitan: