X

Kindly register in order to view this article
!

Perak terima 688,000 dos vaksin bulan ini

Saarani (tengah) ditemani Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengagih bantuan makanan kepada penduduk orang asli di Kampung Chadak.
A
A

TAMBUN - Perak dijangka menerima sebanyak 688,000 dos vaksin Covid-19 pada Julai dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sebanyak 147,000 dos pertama dijangka tiba minggu depan.

"Sekiranya tiba mengikut seperti yang dijadualkan, Perak dijangka mampu merekodkan kadar suntikan antara 25,000 hingga 30,000 sehari.

"Kadar itu mampu dicapai memandangkan Perak kini mempunyai 101 fasiliti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) meliputi 31 PPV awam dan hospital kerajaan serta 70 PPV klinik dan hospital swasta," katanya kepada pemberita pada Program Outreach Vaksinasi Penduduk Orang Asli di Kampung Chadak, Hulu Kinta di sini pada Ahad.

Menurut Saarani, program vaksinasi negeri turut merekodkan pencapaian yang signifikan apabila terdapat peningkatan baik bagi jumlah suntikan harian.

"Perak merekodkan 14,402 suntikan harian pada 30 Jun lalu dan jumlah itu bertambah menjadi 15,918 pada 1 Julai dan terus meningkat pada kadar 19,341 pada 2 Julai.

"Momentum ini didorong oleh pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk program jangkauan komuniti atau 'outreach' yang dilaksanakan secara agresif sejak 11 Mei lalu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri bercadang untuk menambah penglibatan lebih banyak hospital dan klinik swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 bagi meningkatkan lagi kapasiti vaksinasi.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan Malaysia bakal menerima lebih 12 juta dos vaksin Covid-19 bulan ini dan dengan penerimaan jumlah besar bekalan vaksin itu, kapasiti pemberian vaksin akan turut dipertingkatkan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Saarani berkata, Perak berjaya beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Isnin selepas memenuhi tiga nilai ambang yang ditetapkan.

"Yang pertama purata kes harian negeri tidak melebihi 307 kes dan kedua adalah penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) baru 27 peratus berbanding 70 peratus yang ditetapkan.

"Perak turut mencatatkan liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus. Lagi ramai yang mengambil vaksin dan kurang kes, kita boleh beralih ke fasa tiga," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!