Krisis UMNO: Zahid dicabar buat pemilihan parti

Zahidi Zainul Abidin
Zahidi Zainul Abidin
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin mencabar Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan pemilihan parti sekiranya terdesak mahukan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO.

Ahli Parlimen Padang Besar itu berkata, Ahmad Zahid tidak sewajarnya memanipulasi sokongan ahli-ahli MKT UMNO bagi menukar ketetapan dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 sekiranya beliau mahukan 41 ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau, sekiranya Ahmad Zahid bersikap 'gentleman' dan mahu semua pemimpin UMNO ikut cakap beliau, maka pemilihan parti perlu dilakukan segera sebagai usaha menyelamatkan UMNO sendiri.

"Pendapat saya sebagai ahli Parlimen dan MKT UMNO, Zahid memanipulasi perjumpaan ahli-ahli MKT UMNO baru-baru ini bagi mendapatkan sokongan mereka, tanpa memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen UMNO terlebih dahulu.

"Kalau beliau ikhlas mahu satukan parti dan menyelamatkan UMNO, Zahid kena buat pemilihan parti.

"Sekiranya Zahid juga mahu semua orang ikut cakap dia termasuk ahli-ahli Parlimen UMNO, Zahid kena 'gentleman' untuk buat pemilihan parti. Kalau dia masih menang pemilihan, kami semua akan ikut cakap dialah...walaupun dia terpalit kes mahkamah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Beberapa ahli Parlimen UMNO adakan pertemuan di Jalan Bellamy

Beliau berkata demikian bagi mengulas hasil perbincangan 35 Ahli Parlimen UMNO yang mengadakan pertemuan malam Jumaat dan bersetuju mempertahankan resolusi yang diputuskan dalam PAU 2020 pada Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Berdesarkan persetujuan itu, kesemua 35 Ahli Parlimen itu akan terus menyokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

PAU 2020 antara lain menuntut supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan apabila tempoh darurat tamat, sama ada selepas 1 Ogos ini atau tarikh sebelumnya, jika darurat ditamatkan lebih awal.

Ahmad Zahid bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan ketika hadir pada Perasmian Persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Mac lalu. - Foto fail Bernama
Ahmad Zahid bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan ketika hadir pada Perasmian Persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Mac lalu. - Foto fail Bernama

Terdahulu, media tempatan melaporkan Ahmad Zahid berjaya meyakinkan majoriti daripada 56 ahli MKT UMNO yang merupakan badan eksekutif parti itu bahawa perpisahan daripada PN perlu dilakukan sekiranya kata dua mereka kepada kerajaan PN tidak diendahkan.

Pada 21 Jun lalu, UMNO berpendirian tegas mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan dikeluarkan parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan 35 ahli Parlimen UMNO pada Jumaat malam, Zahidi menegaskan semua ahli Parlimen yang hadir, meluahkan kekecewaan di atas tindakan Ahmad Zahid yang menggunakan MKT bagi memenuhi kepentingan politik beliau.

Jelas beliau, tindakan Ahmad Zahid memanggil sebahagian besar ahli MKT secara seorang demi seorang untuk menandatangani surat sokongan bagi menjadikan arahan tarik diri daripada kerajaan PN sebagai keputusan MKT, adalah tidak relevan.

"Sepatutnya beliau kena bincang dengan ahli-ahli Parlimen UMNO kerana tunjang kekuatan parti adalah ahli-ahli Parlimen yang menang pilihan raya...Tidak boleh pemimpin yang kalah buat keputusan bagi orang yang menang.

"Zahid pun kena sedar, kerajaan PN tertubuh atas persetujuan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta tidak dibincangkan pun dalam mesyuarat MKT.

"Meskipun saya akui ada ahli Parlimen yang tandatangan surat tarik sokongan daripada kerajaan PN, majoriti ahli Parlimen UMNO yang lain tidak akan keluar dan terus bersama kerajaan sedia ada sehingga Parlimen terbubar," katanya.