Fama wujud bilik gerakan pastikan kelancaran aktiviti pemasaran

MAFI melalui Fama ketika menyerahkan bantuan MAFI Prihatin kepada keluarga dan penduduk sekitar Labuan
MAFI melalui Fama ketika menyerahkan bantuan MAFI Prihatin kepada keluarga dan penduduk sekitar Labuan
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mewujudkan bilik gerakan Pusat Pengurusan Krisis bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Fama dalam satu kenyataan berkata, bilik gerakan yang beroperasi pada pukul 8 pagi hingga 7 malam itu bertujuan membantu para petani yang menghadapi masalah memasarkan hasil pertanian.

"Fama bertindak memberikan khidmat nasihat kepada petani untuk menyertai program Ladang Kontrak 2.0 Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) atau menghubungi Fama sekiranya masalah sama berulang dan mengaturkan pasaran di outlet pemasaran Fama.

"Apabila berlakunya lebihan bekalan hasil pertanian usahawan tani akan disalurkan kepada yang memerlukan melalui khidmat dan pengaturan pasaran yang dilaksanakan oleh Fama.

"Petani yang menghadapi masalah boleh melayari portal Fama Feedback System atau menghubungi hotline Fama di talian 019-7476754, 013-3777100 atau 010-76326," katanya pada Sabtu.

Tambahnya, sehingga 30 Jun, Fama telah mengeluarkan sebanyak 14,961 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian tidak formal (informal) termasuk aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan keperluan makanan kepada usahawan tani.

Ujarnya, bagi sektor pertanian formal yang melibatkan syarikat pengilangan, pengeluar produk atau industri makanan perlu terus mendapatkan kebenaran beroperasi melalui Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam perkembangan lain, MAFI melalui Fama menyerahkan bantuan MAFI Prihatin kepada keluarga dan penduduk di sekitar Labuan.

Artikel Berkaitan:

Kata kenyataan itu, sebanyak 500 set bantuan MAFI Prihatin diserahkan oleh Pengarah FAMA Negeri Sabah, Ribin Wahid kepada Dato' Suhaili Abdul Rahman untuk diagihkan ke 27 buah kampung di seluruh Labuan antaranya Kampung Batu Arang, Kampung Batu Manikar, Kampung Bebuloh dan lain-lain.

"Sumbangan berbentuk hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan ini merupakan kesinambungan program MAFI Prihatin yang dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri DrRonald Kiandee bertujuan membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

"Sejak pelaksanaan MAFI Prihatin pada 27 Mei lalu sehingga 30 Jun, seramai 17,195 orang telah menerima bantuan yang terdiri daripada barisan hadapan, badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di 74 lokasi seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 36 metrik tan makanan telah disalurkan," katanya.

Jelasnya, Fama melalui MAFI Prihatin juga telah membantu 391 orang petani dan lima orang usahawan dalam memasarkan 20 jenis hasilan pertanian dan produk mereka yang mengalami kesukaran dalam menjalankan aktiviti pemasaran semasa tempoh pelaksanaan PKP 3.0.