X

Kindly register in order to view this article
!

BNM umum tambahan peruntukan bagi dana PKS, tambah baik ciri kemudahan

Foto Bernama
A
A

BANK Negara Malaysia (BNM) melakukan penambahbaikan ke atas beberapa kemudahan di bawah Dana BNM untuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) yang bertujuan menyokong operasi dan menyediakan bantuan kepada sektor itu.

Dalam kenyataan pada Jumaat, bank pusat mengumumkan peruntukan tambahan RM4 bilion bagi Dana BNM untuk PKS, yang termasuk peruntukan bagi Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) sebanyak RM2 bilion.

"Penambahan ini meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM6 bilion. TRRF bertujuan memberikan bantuan dan sokongan untuk pemulihan PKS dalam sektor perkhidmatan,” jelasnya. Menurut BNM, peruntukan Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) turut ditambah sebanyak RM2 bilion sekali gus meningkatkan peruntukan keseluruhan kepada RM6.5 bilion.

Kemudahan AES ini terbuka kepada PKS daripada semua sektor ekonomi dan bertujuan meningkatkan akses PKS kepada pembiayaan dan menyokong pertumbuhan, tambahnya.

BNM menjelaskan penambahbaikan tersebut telah diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing di bawah pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Tambahan) serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Bank pusat juga melakukan penambahbaikan ciri kemudahan TRRF dan Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) untuk membolehkan PKS menggunakan sebahagian pembiayaan bagi membayar balik pinjaman perniagaan yang sedia ada (iaitu pembiayaan semula).

"Jumlah maksimum yang boleh digunakan untuk pembiayaan semula adalah sehingga 30 peratus daripada pembiayaan yang diluluskan bagi TRRF dan bagi PTF pula sehingga 50 peratus daripada pembiayaan yang diluluskan,” menurutnya.

BNM menambah, selain itu penerima Kemudahan Bantuan Khas dan Pembiayaan PKS Penjana kini layak untuk memohon PTF (sehingga RM300,000 bagi setiap PKS).

PTF bertujuan menyokong PKS dalam sektor pelancongan dengan membantu mereka mengekalkan keupayaan dan membuat penyesuaian serta terus berdaya maju selepas pandemik.

"PKS yang berminat boleh terus memohon untuk mendapatkan kemudahan-kemudahan ini daripada institusi kewangan peserta.

"PKS juga boleh merujuk bnm.gov.my/covid19 atau menghubungi kami melalui bnm.my/LINK jika mempunyai sebarang pertanyaan mengenai kemudahan pembiayaan BNM,” jelas bank pusat. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!