Berang ditegur, wanita OKU guna tongkat sabit ditahan

Polis menahan seorang wanita warga emas berstatus OKU untuk siasatan berkenaan kes perselisihan faham yang berlaku di Jalan Bukit Segar 1, Cheras pada Khamis.
Polis menahan seorang wanita warga emas berstatus OKU untuk siasatan berkenaan kes perselisihan faham yang berlaku di Jalan Bukit Segar 1, Cheras pada Khamis.
A
A
A

KAJANG - Polis menahan seorang wanita warga emas berstatus orang kelainan upaya (OKU) pada Jumaat, susulan perselisihan faham hingga cuba memukul mangsa dengan sebatang tongkat sabit dalam kejadian di Jalan Bukit Segar 1, Cheras dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, laporan kejadian itu diterima daripada seorang lelaki pada Khamis yang mendakwa telah berlaku berselisih faham antara dirinya dengan wanita terbabit.

"Siasatan polis mendapati punca kejadian adalah kerana mangsa menegur wanita itu yang memandu di jalan sehala hingga mengganggu pengguna jalan raya lain di kawasan tersebut.

"Wanita itu yang juga warga emas datang dengan menunjukkan kad OKU sambil mengangkat tongkat yang diikat dengan sabit serta cuba memukul ke arah mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, wanita berusia 66 tahun itu kemudian telah ditahan pada Jumaat untuk siasatan lanjut.

"Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Saksi bebas yang melihat kejadian diminta tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai penyiasat kes, Sarjan Ahmad Faizal Hasan di talian 019-7691 924 / 03-8911 4222," katanya.

Artikel Berkaitan: