X

Kindly register in order to view this article
!

Kilang dikenakan tindakan JAS, MBSJ

Para pekerja yang diperiksa oleh agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri pada Op Patuh di sebuah kilang pembuatan keluli di Taman Perindustrian Subang hari ini.
 Foto Bernama
A
A

SUBANG JAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak tiga kompaun dan satu saman dikeluarkan pihak berkuasa menerusi Op Patuh di sebuah kilang kejuruteraan keluli di Taman Perindustrian Subang, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, berdasarkan rekod, kilang itu dikenakan tiga kompaun bernilai RM6,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) selain satu saman oleh pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

"Tindakan oleh JAS diambil di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula mengambil tindakan saman mengikut Undang-Undang Kecil, Undang-Undang Kecil Perlesenan Trade, Perniagaan dan Perindustrian (MPSJ) 2007," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada Jumaat.

Tambahnya, pemeriksaan ke atas surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang didakwa oleh pihak kilang bahawa mereka dibenarkan beroperasi sebagai perkhidmatan perlu juga akan disemak semula oleh MITI.

Justeru, Abd Khalid menegaskan, setiap syarikat diingatkan mempunyai surat pengesahan perkhidmatan penting dan patuh kepada peraturan yang dikeluarkan.

"Masyarakat atau pekerja juga boleh menyalurkan sebarang maklumat berkenaan kesalahan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan diri terjamin," katanya.

Pada Jumaat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir menyertai Op Patuh di kilang terbabit.

Pelaksanaan Op Patuh secara besar-besaran dan bersepadu di seluruh negara bermula 2 Julai 2021.

Op Patuh besar-besaran ini akan membabitkan strategi yang lebih drastik melalui pemeriksaan yang lebih ketat serta pemantauan yang lebih menyeluruh dengan penggunaan aset-aset strategik seperti helikopter, dron dan sekatan jalan raya bergerak milik agensi penguatkuasaan yang terlibat antaranya seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!